Syabu, heroin ditemui dalam kereta rempuh 2 remaja perempuan hingga maut

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUANTAN: Dua remaja perempuan berusia 18 tahun maut selepas motosikal mereka dirempuh sebuah kereta ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat di Jalan Tengku Ismail, di Temerloh, dekat sini malam tadi.

-Advertisement-

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan, berkata kemalangan kira-kira jam 11 malam itu mengorbankan penunggang motosikal jenis Yamaha Ego Avantiz, Nur Irdina Shaffiya Muhammad Nazri dan pemboncengnya, Aneez Irdiena Sofya Khairul Azman.

Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Siasatan awal mendapati mereka dalam perjalanan dari arah Mentakab menuju ke Bulatan Bukit Angin. Ketika berhenti di lampu isyarat sedang merah, sebuah kereta Perodua Bezza dipercayai tidak memperlahankan kenderaan dan telah melanggar bahagian belakang motosikal mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

-Advertisement-

Mazlan berkata, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, di sini untuk bedah siasat pagi ini.

Mazlan memaklumkan, pemeriksaan ke atas kereta terbabit, menemukan paket plastik disyaki mengadungi dadah syabu dan heroin yang dianggarkan bernilai lebih RM6,000.

Sehubungan itu, pemandu kereta berusia 38 tahun yang beralamat di Kepong, Kuala Lumpur, ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
-BeritaHarian