KLUANG: Kementerian Pertahanan (MINDEF) menyasarkan untuk mendigitalkan semua 38 sekolah dalam kem (SDK) di seluruh negara dalam usaha membudayakan penggunaan teknologi kreatif dalam kalangan anak warga kerja pertahanan.
-Advertisement-
Timbalan Menterinya, Adly Zahari, berkata inisiatif itu selaras Dasar Pendidikan Digital dilancarkan Kementerian Pendidikan (KPM) pada 2023, dengan objektif melahirkan murid fasih digital bagi menghadapi cabaran era teknologi masa kini.
“Inisiatif ini juga akan mengupayakan pendidik dan pemimpin pendidikan untuk mengintegrasikan teknologi digital dalam ekosistem pendidikan, memperkukuh infrastruktur dan kandungan digital serta mengoptimumkan pembabitan rakan strategik sebagai pemangkin pendidikan digital,” katanya selepas melancarkan Affin Digital Space di Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Sir Ibrahim di sini, hari ini.
Sebagai permulaan, tiga SDK dipilih projek rintis tahun ini, dengan kerjasama strategik KPM dan Affin Bank Berhad membabitkan peruntukan RM94,000.
-Advertisement-
Dua sekolah terawal yang melaksanakan inisiatif ini ialah SK Kementah dan SK TUDM Subang.
Adly berkata, semua 38 SDK termasuk di Sabah dan Sarawak akan dilaksanakan secara berfasa, bergantung kepada maklum balas dan keberkesanan projek rintis ini.
Beliau berkata, pendigitalan SDK bukan saja bertujuan meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran (PdP), malah menyokong ekosistem kesejahteraan nasional melalui pembangunan negara MADANI dan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara.
Katanya, bagi SK Sultan Sir Ibrahim, kemudahan studio teknologi layar hijau dibangunkan bagi membolehkan pelajar dan guru menghasilkan kandungan kreatif serta pembelajaran berasaskan media.
“Pasa majlis ini, kru sekolah turut memberi taklimat mengenai penggunaan layar hijau, teknik penyuntingan video dan pencahayaan.
“Persembahan rakaman video pendek bertajuk ‘Bicara Pemimpin’ juga dipertontonkan, mempamerkan bakat pelajar terutama ahli TV Pusat Sumber Sekolah,” katanya.
-BERNAMA
-BeritaHarian