Jorginho sandaran Flamengo atasi Chelsea

Estimate Reading Time: 2 minutes

PHILADELPHIA, Amerika Syarikat: Kelab gergasi Brazil, Flamengo berharap pengalaman Jorginho dapat membantu mereka menewaskan bekas kelab pemain itu Chelsea apabila kedua-dua pasukan bertemu pada saingan Piala Dunia Kelab FIFA pagi esok.

Pemain tengah berusia 33 tahun itu, yang mewakili Itali di peringkat antarabangsa, kembali ke negara kelahirannya awal bulan ini selepas menyertai kelab gergasi Rio de Janeiro itu dengan kontrak selama tiga tahun.

Perpindahan itu menamatkan karier panjang Jorginho di Eropah, yang bermula di Itali – tanah kelahiran datuk sebelah bapanya – 15 tahun lalu.

Dia mencipta nama dalam Serie A bersama Hellas Verona dan Napoli sebelum berpindah ke Chelsea pada tahun 2018.

Sepanjang kariernya di Stamford Bridge, Jorginho membuat lebih 200 penampilan, membantu kelab itu menjuarai Liga Europa pada 2019 dan Liga Juara-Juara pada 2021.

“Seronok dapat bertemu semula bekas kelab dan berjumpa rakan lama,” kata Jorginho kepada wartawan di Philadelphia, tempat berlangsungnya kejohanan baharu anjuran FIFA itu.

Chelsea dan Flamengo kini bersaing untuk menguasai Kumpulan D, selepas kedua-dua pasukan mencatat kemenangan dalam aksi pertama masing-masing Isnin lalu – Flamengo menewaskan Esperance, manakala Chelsea menundukkan Los Angeles FC.

“Saya bersedia membantu dalam apa jua cara, sama ada di tengah padang atau di luar. Ia akan menjadi perlawanan yang amat sukar. Kami tahu betapa kuatnya pasukan mereka dan kami perlu benar-benar bersedia.”

Jorginho, yang sebelum ini bermain selama dua setengah musim bersama Arsenal, kini menyertai skuad Flamengo yang berada di puncak liga Brazil dan layak ke peringkat kalah mati Copa Libertadores, kejohanan yang kali terakhir mereka menangi pada 2022.

Dia perlu menunggu hingga bulan depan untuk membuat penampilan sulung di stadium legenda Maracana di Rio, namun dia sudah melakukan penampilan sulungnya untuk Flamengo ketika menang 2-0 ke atas Esperance dari Tunisia dalam aksi pertama kumpulan di Lincoln Financial Field, Isnin lalu.

“Saya masih belum berpeluang bermain di Maracana dan saya tidak sabar menantikannya, tetapi saya rasa ia adalah satu penampilan yang baik untuk keseluruhan pasukan. Penyokong memberikan sokongan sepenuhnya seperti biasa. Proses penyesuaian saya juga berjalan lancar,” kata Jorginho.

Di Flamengo, Jorginho kini beraksi di bawah bimbingan Filipe Luis, bekas pemain pertahanan Chelsea berusia 39 tahun, yang dilantik sebagai jurulatih utama hujung tahun lalu.
-AFP
-BeritaHarian

-Advertisement-

-Advertisement-