MANCHESTER: Legenda Manchester United, Wayne Rooney mendedahkan telinga kirinya mempunyai masalah pendengaran.
-Advertisement-
Rooney mengejutkan penonton dalam program “Match of the Day: Behind the Scenes” apabila mengaku isu terbabit menjejaskan peranannya sebagai penganalisis sukan.
Rooney, 40, sebelum ini tidak pernah bercakap mengenai masalahnya itu dan masih belum jelas bila atau bagaimana ia bermula.
Ketika rakaman segmen bersama kru BBC, beliau meminta ‘earpiece’ dipasang di telinga kanan sahaja, bukan kiri, sebelum membuat pengumuman itu. “Boleh saya guna telinga ini? Masalahnya saya pekak di telinga kiri.
“Jadi apabila bunyi terlalu kuat, saya sukar dengar apa yang Kelly Cates [pembawa MOTD] atau sesiapa sahaja cakap” kata Rooney sambil menunjuk telinga yang lebih kuat.
Belum jelas bagaimana Rooney menjadi pekak di telinga kiri, tetapi pada tahun 2009 beliau memerlukan 45 jahitan selepas tergelincir di atas kapal layar mewah di French Riviera.
Rooney muncul sebagai panel MOTD pada Sabtu malam, diperkenalkan secara gurauan oleh hos Mark Chapman sebagai “abang John Rooney”.
Adik lelakinya, John, menjadi tumpuan selepas membantu pasukan kecil Macclesfield menewaskan Crystal Palace dalam Piala FA awal bulan ini.
-Advertisement-
Legenda England itu turut berpeluang meraikan kejayaan bekas kelabnya apabila Manchester United menang dalam derbi Manchester.
Dalam perlawanan pertama di bawah pengendalian bekas rakan sepasukan Michael Carrick, United menewaskan Manchester City 2-0 di Old Trafford hasil jaringan separuh masa kedua daripada Bryan Mbeumo dan Patrick Dorgu.
Memuji gol pertama dalam MOTD, Rooney berkata: “Apabila kita bercakap tentang DNA Manchester United, ini dia. Lari ke hadapan, kita sudah lihat banyak gol Manchester United sepanjang tahun seperti ini. Bola ke Bruno [Fernandes], ke [Bryan] Mbeumo, dan penyudah yang hebat.”
Tentang Carrick, beliau menambah: “Permulaan hebat untuk lelaki itu. Banyak cakap minggu ini tentang permulaan yang dia tidak pernah impikan.
“Persembahan itu adalah yang terbaik saya lihat daripada pasukan Manchester United dalam tempoh yang sangat lama.
“Apabila anda tanya kenapa Manchester United perlukan bekas pemain kembali, sebab Michael Carrick tahu kelab ini, tahu budaya, tahu DNA kelab bola sepak, dan anda lihat hari ini. Mereka benar-benar cemerlang.”
Rooney menyertai Match of the Day musim panas lalu dan dilaporkan menandatangani kontrak bernilai 800,000 pound (RM4.37 juta) setahun. Beliau juga memiliki podcast bersama BBC.
Peralihan Rooney daripada pengurusan ke penyiaran datang selepas mengendalikan Plymouth Argyle, Derby County, DC United dan Birmingham City.
-BeritaHarian