Pelaksanaan ‘smart lane’, impak dasar lori lebih muatan, isu ART antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan ‘smart lane’, impak penguatkuasaan dasar lori lebih muatan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), dan status kedudukan Malaysia susulan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) ialah antara perkara dibangkitkan pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.

-Advertisement-

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat dalam laman sesawang Parlimen, Manndzri Nasib (BN-Tenggara) pada sesi soal jawab lisan meminta Menteri Kerja Raya menyatakan mekanisme pemantauan keselamatan, penguatkuasaan undang-undang dan teknologi yang diguna pakai untuk memastikan pelaksanaan ‘smart lane’ tidak meningkatkan risiko kemalangan jalan raya.

Pada sesi sama, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) bertanya Menteri Pengangkutan mengenai impak sebenar penguatkuasaan serta-merta dasar lori lebih muatan oleh JPJ sejak Oktober 2025, ke atas rantaian bekalan, kos logistik dan kos sara hidup rakyat serta mengapa penguatkuasaan itu dilaksanakan tanpa tempoh peralihan yang munasabah.

Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) pula mengemukakan soalan kepada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri berhubung kedudukan Malaysia dalam pelaksanaan serta komitmen terhadap ART jika dibandingkan dengan negara Asia Tenggara lain yang belum menandatangani atau meratifikasi perjanjian itu.

Hamzah juga ingin tahu mengenai justifikasi kerajaan meneruskan perjanjian itu walaupun terdapat negara serantau yang memilih untuk tidak berbuat sedemikian.

-Advertisement-

Turut berada dalam senarai ialah soalan Mohamad Shafizan Kepli (GPS-Batang Lupar) kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berhubung kriteria serta faktor diambil kira oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam menilai semula kelayakan dan memperketatkan pemberian bantuan kebajikan bulanan kepada penerima bantuan sedia ada.

Selepas sesi soal jawab lisan, sidang Dewan Rakyat akan diteruskan dengan menyambung semula perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja oleh Ahli Parlimen.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini dijadualkan berlangsung selama 20 hari hingga 3 Mac depan.

-BeritaHarian