Naib canselor kolej universiti di Melaka dituduh menipu berkait pelantikan akademik

Estimate Reading Time: < 1 minute

MELAKA: Naib Canselor Kolej Universiti Manipal Malaysia didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas tuduhan memperdaya bekas naib canselor institusi pengajian tinggi itu berhubung pelantikan ketua perunding akademik, lima tahun lalu.

Prof Dr G Jayakumar, 64, dituduh di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang ketika kejadian adalah pensyarah kanan di Kolej Universiti Manipal Malaysia didakwa memperdaya naib canselor kolej universiti sama bagi melantik pensyarah di Universiti Perdana Kuala Lumpur sebagai Ketua Perunding Program Kurikulum dan Pembangunan Akademik.

Pelantikan itu bagi membangunkan modul program terapi pekerjaan dengan bayaran RM20,000 walaupun lantikan itu melanggar kontrak kerja dan peraturan Universiti Perdana.

Jayakumar yang dituduh melakukan perbuatan itu di pejabat Kolej Universiti Manipal Malaysia, di sini pada 3 Mei 2021 bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

-Advertisement-

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sharina Farhana Nor Sa’ari, manakala tertuduh diwakili peguam, Azrul Zulkifli Stork.

Pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM20,000 berserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri setiap bulan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Melaka (SPRM) Melaka.

Mahkamah kemudian membenarkan Jayakumar diikat jamin RM20,000 serta syarat tambahan seperti dimohon pendakwaan sebelum menetapkan sebutan semula kes pada 9 Mac depan, termasuk bagi serahan dokumen.

-Beritaharian