RIYADH: Liga Pro Saudi mencuri perhatian komuniti bola sepak antarabangsa apabila mengambil pendekatan luar biasa dengan mengiklankan kekosongan posisi pemain tengah menerusi platform pencarian kerja sukan, Futboljobs.
-Advertisement-
Iklan yang disiarkan di laman web berbahasa Sepanyol itu mensyaratkan calon mempunyai pengalaman bermain dalam liga yang setara atau lebih tinggi. Tawaran gaji tahunan dianggarkan antara 522,000 hingga 875,000 pound (sekitar RM2.47 juta hingga RM4.13 juta). Calon perlu mengemukakan resume bersama rakaman video permainan atau pautan profil Transfermarkt sebagai sebahagian daripada permohonan.
Kedudukan Liga Pro Saudi semakin kukuh sejak tahun 2023 selepas pelaburan besar mencecah 1.3 bilion pound (RM6.15 bilion) digunakan untuk membawa masuk pemain import. Usaha ini sejajar dengan agenda nasional Arab Saudi, Vision 2030, yang didukung oleh Public Investment Fund (PIF) bernilai kira-kira 700 bilion pound (RM3.31 trilion).
Empat kelab terkemuka iaitu Al-Nassr, Al-Hilal, Al-Ittihad dan Al-Ahli menerima sokongan kewangan langsung daripada PIF, dengan peruntukan bajet tahunan dianggarkan mencecah 1.5 bilion pound (RM7.10 bilion).
Selain memenuhi kriteria prestasi, pemain yang memohon juga perlu berstatus ejen bebas atau berada sepenuhnya di bawah pengurusan ejen tanpa sebarang pemilikan bersama kelab.
-Advertisement-
Walaupun iklan tersebut tidak menyebut nama kelab secara khusus, pemain yang terpilih berpeluang beraksi bersama atau berdepan pemain bertaraf dunia seperti Cristiano Ronaldo dan Sadio Mane, sekali gus meningkatkan pendedahan di pentas antarabangsa.
Ronaldo sebelum ini menandatangani kontrak selama dua tahun bersama Al-Nassr dengan gaji asas sebanyak 492 juta pound (RM2.33 bilion), selain bonus yang boleh mencecah 38 juta pound (RM179.7 juta).
Walaupun tumpuan media sering diberikan kepada nama besar, inisiatif ini menunjukkan bahawa Liga Pro Saudi turut membuka ruang kepada pemain di luar liga elit, mencerminkan strategi perekrutan yang lebih terbuka dan tidak konvensional.
-agensi