KUALA LUMPUR: Tahap kesihatan pelakon veteran, Shamsul Ghau Ghau menunjukkan perkembangan yang amat menggalakkan selepas berjaya menjalani pembedahan membuang darah beku di Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), Serdang, pada Sabtu lalu.
-Advertisement-
Isterinya, Sharifah Azrinah Syed Ibrahim memaklumkan hampir kesemua wayar serta peralatan perubatan yang sebelum ini dipasang pada tubuh suaminya telah ditanggalkan, selain Shamsul kini sudah mula menggerakkan anggota badan secara berperingkat dan menjalani rawatan fisioterapi.
“Alhamdulillah, perkembangan Abang Shamsul sangat positif dan memberangsangkan. Saya rasa sangat lega. Doktor juga memaklumkan keputusan ujian Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) di bahagian otak kiri yang dibuat Ahad lalu menunjukkan keputusan yang baik.
“Wayar-wayar di badannya sudah dicabut dan hari ini dia sudah mula menjalani fisioterapi serta boleh menggerakkan tangan dan kakinya dengan bantuan,” katanya kepada BH Online.
Menurut Sharifah Azrinah, pihak doktor kini sedang berusaha memperkenalkan semula pengambilan makanan melalui mulut selepas sebelum ini Shamsul hanya diberi susu menggunakan tiub.
“Semalam (Ahad) doktor cuba beri dia minum susu melalui tiub dan diteruskan pada jam 6 pagi serta 9 pagi. Alhamdulillah, setakat ini tiada sebarang tindak balas negatif seperti muntah. Hari ini doktor akan cuba memberinya makan bubur melalui mulut,” katanya.
Mengulas tahap kognitif suaminya, beliau berkata Shamsul kini mampu memberi jawapan yang tepat walaupun sesekali memerlukan masa untuk memahami soalan yang diajukan.
“Dia sudah boleh bercakap dengan jelas, cuma responnya kadang-kadang sedikit perlahan dan ada kalanya nampak keliru.
“Apabila doktor bertanya mengenai dirinya dan orang sekeliling, alhamdulillah dia dapat menjawab semua soalan dengan betul. Saya sangat bersyukur melihat perkembangan,” katanya.
Tambahnya, Shamsul kini sudah boleh duduk di atas katil atau di bahagian tepi, namun masih belum mempunyai kekuatan mencukupi untuk berjalan tanpa bantuan.
Tempoh rawatan di hospital pula masih bergantung kepada keadaan semasa pesakit.
“Doktor maklumkan buat masa ini, kemungkinan Abang Shamsul perlu dirawat di hospital sekitar tiga hingga empat hari lagi, bergantung kepada perkembangan hariannya,” ujarnya.
Sharifah Azrinah turut memaklumkan rawatan fisioterapi perlu diteruskan sama ada di hospital atau di rumah, tertakluk kepada penilaian doktor.
“Doktor beri pilihan sama ada dia balik dan jalani fisioterapi di rumah atau terus ditahan di hospital sekitar seminggu untuk mengikuti program yang telah disusun supaya keadaannya lebih stabil sebelum dibenarkan pulang,” katanya.
Ditanya mengenai keadaan emosi suaminya, beliau berkata Shamsul lebih banyak memikirkan komitmen kerja yang sedang dijalankan sebelum insiden itu berlaku.
-Advertisement-
“Dia risau tentang penggambaran. Saya beritahu semuanya sudah diuruskan dan pihak produksi memahami keadaannya.
“Apabila saya yakinkan dia, dia hanya diam, termenung dan air matanya mengalir. Dia angguk faham. Saya minta dia kekal kuat dan positif supaya cepat sembuh,” katanya.
Hargai doa dan sokongan
Dalam perkembangan sama, Sharifah Azrinah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang tidak putus-putus mendoakan serta memberi sokongan kepada keluarganya.
“Peminat, rakan artis, kawan-kawan dekat dan jauh, termasuk yang kami tidak kenal, semuanya memberi sokongan dan doa. Itu semua sangat membantu kami sekeluarga. Hanya Allah mampu membalas segala kebaikan mereka,” katanya.
Beliau turut menzahirkan terima kasih kepada pelakon, Sheila Mambo yang banyak membantu sejak awal insiden berlaku.
Sementara itu, Sheila menjelaskan usaha menggerakkan kutipan sumbangan dilakukan secara bersama dengan rakan artis lain dan atas izin Allah.
“Ini bukan usaha saya seorang. Ramai rakan artis seperti Ebby Yus, Ellie Suriaty dan yang lain turut membantu. Ada yang sebarkan maklumat, ada yang hubungi pihak berkaitan termasuk zakat.
“Apabila dilakukan dengan cara yang betul, semuanya bergerak dengan cepat. Ini urusan Allah, kita hanya perantara,” katanya.
Sheila turut menyifatkan Shamsul sebagai individu yang baik dan disenangi ramai.
“Pak Su (panggilan untuk Shamsul) orang baik. Bila kita mudahkan urusan orang, Allah mudahkan urusan kita. Ini bukti kuasa Allah dan kebaikan,” katanya.
Sebelum ini, Shamsul Ghau Ghau dilaporkan mengalami pendarahan beku dalam otak dan berjaya menjalani pembedahan di HSAAS, Serdang.
Difahamkan kos pembedahan berjumlah sekitar RM25,000 diperlukan sebagai deposit, dengan pelbagai pihak tampil menghulurkan sumbangan bagi membantu meringankan beban keluarga pelakon berkenaan.
-BeritaHarian