BENTONG: Seorang lelaki dilaporkan meninggal dunia selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh tiang keselamatan di Plaza Tol Bentong, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, semalam.
-Advertisement-
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar, berkata kejadian berlaku di Kilometer (KM) 61.7 lebuh raya itu mengakibatkan mangsa, Mohd Sapri Aziz, 65, yang dalam perjalanan dari Raub ke Kuala Lumpur, disahkan maut akibat kecederaan serius di kepala.
“Siasatan awal mendapati kenderaan yang dipandu dari arah Raub ke Kuala Lumpur hilang kawalan sebelum melanggar tiang keselamatan batu nosing di Lorong 02 Plaza Tol Bentong. Pelanggaran itu menyebabkan kenderaan terbalik ke sebelah kanan bahagian pemandu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zaiham menambah, isteri mangsa yang berusia 61 tahun mengalami kecederaan ringan di kepala dan dibawa ke Hospital Bentong untuk rawatan lanjut.
-Advertisement-
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Usaha mengesan saksi termasuk mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan Plaza Tol Bentong sedang dijalankan bagi membantu siasatan,” katanya, sambil menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati semasa memandu.
-BeritaHarian