SUBANG JAYA, 27 Januari — Kerajaan Negeri Selangor dengan kerjasama Invest Selangor Berhad dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) akan menganjurkan Sambutan Perayaan Tahun Baru Cina Peringkat Negeri Selangor 2026 pada 7 Februari 2026 (Sabtu) bertempat di Taman Rekreasi Wawasan, Persiaran Wawasan, Taman Wawasan, Puchong, bermula 5.00 petang hingga 10.00 malam.
Penganjuran ini menyasarkan kehadiran seramai 10,000 pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat, sejajar dengan hasrat kerajaan negeri untuk membawa kemeriahan perayaan ke kawasan komuniti serta mengukuhkan keharmonian masyarakat berbilang kaum.
Sambutan Diawalkan Beri Keutamaan Keharmonian Sosial
Walaupun sambutan rasmi Tahun Baru Cina dijangka jatuh pada 17 Februari 2026, Kerajaan Negeri Selangor mengambil pendekatan proaktif dengan menganjurkan sambutan lebih awal bagi mengelakkan pertindihan dengan permulaan bulan Ramadan.
Langkah ini bertujuan memastikan kelancaran majlis jamuan rakyat serta menghormati umat Islam yang bakal menjalani ibadah puasa, di samping membolehkan rakyat berbilang kaum dan kepimpinan negeri meraikan perayaan tersebut bersama-sama dalam suasana harmoni.
Tradisi “Campur Beras” Lambang Perpaduan
Sambutan kali ini turut menampilkan kelainan melalui pengenalan tradisi “Campur Beras”, yang menggantikan amalan menggaul Yee Sang. Upacara simbolik ini akan disertai oleh YAB Dato’ Seri Amirudin bin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor, bersama dif-dif kehormat.
Konsep “Campur Beras” dipilih sebagai simbol perkongsian rezeki, keberkatan dan penyatuan masyarakat melalui amalan sumbangan serta pengagihan beras, sekali gus mencerminkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di negeri ini.
Persembahan Kebudayaan dan Hiburan
Pelbagai persembahan kebudayaan dan hiburan telah disusun sepanjang program berlangsung.
Pra-Persembahan (5.45 petang – 6.45 petang):
-
Persembahan Orkestra Muzik Kebudayaan Cina dan Medley Tahun Baru Cina
-
Tarian “Jom Mamak”
-
Persembahan Perkusi
-
Tarian Cina “Bunga”
-
Tarian Jalanan
-
Persembahan Kumpulan Muzik (Live Band)
Persembahan Utama (8.30 malam – 9.35 malam):
-
Tarian Pembukaan “The Herd of Synergy”
-
Persembahan Brass Band
-
Persembahan Boneka dan Tarian “Dunia Bawah Air”
-
Persembahan Diabolo
-
Persembahan Tarian Singa
-
Persembahan Koir
Selain itu, pengunjung turut berpeluang menikmati persembahan cahaya lampu di sekitar Taman Rekreasi Wawasan yang menggunakan teknologi projektor.
Agihan Angpau, Limau dan Beras
Sebagai sebahagian daripada tradisi perayaan, sebanyak 1,500 angpau akan diagihkan kepada kanak-kanak berusia bawah 12 tahun, selain pemberian buah limau. Penganjur juga menyediakan 5,000 paket kecil beras sebagai cenderamata kepada pengunjung.
Jamuan Makan Rakyat
Jamuan makan akan disediakan dalam dua sesi, iaitu:
-
Sesi pertama: 5.45 petang untuk 3,000 pengunjung
-
Sesi kedua: 8.30 malam untuk 2,000 pengunjung
Akses dan Pengangkutan Awam
Bagi melancarkan pergerakan pengunjung, orang ramai digalakkan menggunakan pengangkutan awam dan perkhidmatan berikut:
-
Perkhidmatan e-hailing seperti Grab
-
Perkhidmatan LRT melalui Stesen Pusat Bandar Puchong, Taman Perindustrian Puchong dan Bandar Puteri
-
Bas Smart Selangor
-
Van Demand-Responsive Transit (DRT) kendalian Prasarana di sekitar zon perkhidmatan Selangor termasuk Puchong. Pengunjung boleh menyemak jadual dan lokasi menerusi aplikasi Rapid On Demand di Apple App Store atau Google Play Store.
Komitmen Pertumbuhan Inklusif
Dalam sidang media, YB Tuan Ng Sze Han, EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor berkata kerjasama erat antara Kerajaan Negeri Selangor, Invest Selangor dan MBSJ mencerminkan komitmen berterusan untuk memastikan pembangunan ekonomi dan keharmonian sosial bergerak seiring.
Menurut beliau, di bawah tema Tahun Kuda, Selangor berhasrat untuk terus memacu pertumbuhan yang inklusif dan mampan untuk semua lapisan masyarakat.
Maklumat lanjut mengenai peluang pelaburan di Selangor boleh diperoleh melalui Invest Selangor Berhad.
–TheCapitalPost
-Advertisement-