Zakat Fitrah Pulau Pinang: Pilihan RM10, RM15 dan RM25

Estimate Reading Time: < 1 minute

KEPALA BATAS: Kadar zakat fitrah di Pulau Pinang ditetapkan RM10, RM15 dan RM25

-Advertisement-

Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) telah menetapkan tiga kadar zakat fitrah bagi negeri itu tahun ini, iaitu RM10, RM15, dan RM25.

Yang Dipertua MAINPP, Datuk Mohamad Abdul Hamid, menjelaskan bahawa kadar ini ditentukan berdasarkan jenis beras yang dimakan serta kemampuan individu.
“Tiga kadar ini memberi peluang kepada umat Islam di Pulau Pinang menunaikan zakat fitrah mengikut kemampuan masing-masing dan jenis makanan asasi utama, iaitu beras putih,” katanya.

Menurutnya, kadar zakat fitrah di negeri ini adalah:

  • RM10 untuk beras putih import, beras putih Thai atau setara,

  • RM15 untuk beras rebus, beras perang atau setara dengannya,

  • RM25 untuk beras wangi, beras pulut, beras herba Ponni, beras Calrose, beras Basmati atau setara.

-Advertisement-

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pentauliahan Amil Zakat Fitrah (Mapaf) dan Sumbangan Ihya Ramadan Kerajaan Negeri Tahun 1447H/2026M, yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Zakat MAINPP, Mohamad Kairi Ghazali.

Mohamad, yang juga Timbalan Ketua Menteri 1, berkata MAINPP melantik 1,686 amil zakat fitrah di 239 pusat kutipan seluruh negeri. Beliau yakin pengalaman amil akan memastikan kutipan berjalan lancar dan meningkatkan jumlah pembayar zakat fitrah tahun ini.

Pada tahun lalu, kutipan zakat fitrah mencatat RM8.8 juta, melebihi sasaran awal RM7.9 juta. Menurut Mohamad, kejayaan ini hasil dedikasi dan amanah para amil.

Selain itu, kerajaan negeri memperuntukkan RM265,000 untuk masjid dan surau bagi memeriahkan Ramadan, manakala RM1 juta diperuntukkan oleh Zakat MAINPP melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) untuk mengimarahkan solat tarawih.
“Sumbangan ini bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi juga menunjukkan keprihatinan kerajaan negeri menjadikan masjid dan surau pusat kesatuan ummah,” katanya.

-BERNAMA
-Astroawani