Coca-Cola hentikan produk sejuk beku di AS dan Kanada

Estimate Reading Time: < 1 minute

BENGALURU: Coca-Cola akan menghentikan pengeluaran produk sejuk beku, termasuk rangkaian sejuk beku Minute Maid, di pasaran Amerika Syarikat (AS) dan Kanada.

Pemberhentian itu adalah sebagai langkah menyesuaikan diri dengan perubahan citarasa pengguna.

Jurucakap syarikat itu, berkata pihaknya menghentikan produk sejuk beku dan keluar daripada kategori tin sejuk beku sebagai tindak balas terhadap perubahan mengikut keutamaan pengguna.

Disember lalu, syarikat berkenaan melantik Henrique Braun sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu, yang lebih menumpukan kepada portfolio minuman tanpa gula, selain barisan produk premium seperti susu Fairlife, dalam persekitaran pengguna yang tidak menentu.

“Dengan kategori jus mencatat pertumbuhan yang kukuh, kami memberi tumpuan kepada produk yang lebih selari dengan kehendak pengguna.

-Advertisement-

“Produk sejuk beku akan dihentikan pada suku pertama 2026, dengan stok di kedai dijual selagi bekalan masih ada,” tambah jurucakap itu.

Coca-Cola turut berdepan persekitaran kawal selia yang lebih ketat bagi makanan berbungkus di Amerika Syarikat (AS) dan sedang berusaha memperkenalkan versi minuman berjenamanya menggunakan gula tebu dalam botol kaca di negara itu.

Permintaan yang semakin meningkat terhadap produk rendah kalori menjejaskan jualan berjenama Coke, manakala peralihan kepada produk tempatan turut memberi kesan kepada permintaan di negara seperti India dan China, menurut kenyataan eksekutif syarikat pada Oktober lalu.

-BeritaHarian