Jurulatih Baharu Perseorangan Lelaki Malaysia, Harry Hartono, Sasar Juara Dunia dan Pemain Nombor Satu Dunia

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Walaupun berdepan tugas mencabar, jurulatih baharu perseorangan lelaki negara, Harry Hartono, memasang impian besar untuk melahirkan juara dunia serta pemain nombor satu dunia bersama Malaysia.

Pelantikan jurulatih dari Indonesia itu bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dimuktamadkan bulan lalu, dan beliau memulakan tugas secara rasmi di Akademi Badminton Malaysia (ABM) hari ini.

Harry yakin pengalaman membimbing dua jaguh Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020, dan Jonatan Christie, bekas juara Asia, dapat membantu merealisasikan misi beliau bersama skuad kebangsaan.

“Sebagai jurulatih, saya ingin pemain saya mencapai tahap tertinggi di dunia. Saya mahu mereka menjadi nombor satu dunia dan juara dunia. Itu adalah cabaran dan harapan saya,” kata Hartono pada hari pertamanya bersama skuad kebangsaan.

Keputusan Harry menyertai BAM didorong oleh keinginan menghadapi cabaran baharu dalam kerjaya, walaupun beliau baru kembali berkhidmat bersama Persatuan Bulu Tangkis Seluruh Indonesia (PBSI) pada September lalu sebelum meninggalkan badan induk negaranya.

Jurulatih itu juga membawa pengalaman antarabangsa selepas lima tahun berkhidmat di Taiwan dari 2005 hingga 2010, termasuk membimbing bekas pemain nombor dua dunia, Chou Tien-Chen, ketika pemain itu di peringkat sekolah menengah, sebelum kembali ke Indonesia untuk bekerja di peringkat kelab.

Walaupun baru sehari bersama skuad negara, Harry mengakui kagum dengan sikap positif dan daya saing pemain perseorangan lelaki Malaysia.

-Advertisement-

“Beberapa pemain sudah menentang lawan terbaik dunia dan mereka tahu apa yang diperlukan untuk bersaing di tahap elit,” katanya.

Harry menjangka memerlukan kira-kira sebulan untuk menyesuaikan diri dan menilai situasi sebelum Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Kebangsaan, Kenneth Jonassen, memuktamadkan peranan khususnya dalam acara tersebut.

Antara pemain senior ketika ini ialah Leong Jun Hao, Justin Hoh, dan Eogene Ewe, yang menurut Harry memiliki mentaliti dan potensi untuk menyerlah di peringkat antarabangsa.

Harry adalah salah seorang daripada tiga jurulatih baharu yang dibawa masuk oleh BAM, termasuk Yeoh Kay Bin, yang memulakan tugas sebagai ketua jurulatih perseorangan remaja kebangsaan minggu lalu.

Seorang lagi jurulatih ialah Mohd Zakry Latif, yang diberikan tanggungjawab sebagai jurulatih beregu wanita dan dijadual memulakan tugas pada 20 Februari ini.

-Berita Harian