LPPR Minta Orang Ramai Jangan Terpengaruh Laporan Isu Saham Azam Baki

Estimate Reading Time: 2 minutes

PETALING JAYA: Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) menegaskan semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung dakwaan melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki, berikutan laporan oleh Bloomberg.

Pengerusi LPPR, Mohamad Salim Fateh Din, berkata berdasarkan semakan dan penjelasan yang diterima, pengisytiharan harta berkenaan telah dikemukakan dengan jelas kepada Ketua Setiausaha Negara, selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan Awam dan kerangka tadbir urus perkhidmatan awam yang berkuat kuasa melalui saluran rasmi.

“Oleh itu, mana-mana pihak digesa tidak membuat spekulasi yang menimbulkan seolah-olah terdapat kegagalan pematuhan. Penilaian perlu dilakukan berdasarkan fakta dan proses, bukan persepsi yang terbentuk daripada laporan tidak lengkap atau tidak seimbang,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menekankan bahawa integriti SPRM sebagai institusi penguatkuasaan tidak boleh dinilai melalui tohmahan atau naratif yang mengelirukan dan tidak berpandukan fakta. “Terutama apabila ia mengabaikan mekanisme semak dan imbang serta peranan badan pemantau bebas yang diwujudkan oleh undang-undang,” tambahnya.

-Advertisement-

Awal minggu ini, Bloomberg melaporkan Azam didakwa memiliki 17.7 juta saham, bersamaan 1.7% dalam Velocity Capital Bhd, berdasarkan penyata tahunan syarikat pada 3 Februari tahun lalu. Nama Azam dilaporkan masih tersenarai dalam daftar pemegang saham syarikat itu di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Laporan tersebut mendakwa pegangan ini melanggar pekeliling kerajaan 2024, yang menyatakan penjawat awam hanya boleh memegang saham dalam syarikat diperbadankan di Malaysia jika pegangan itu tidak melebihi 5% daripada modal berbayar atau bernilai RM100,000, yang mana lebih rendah.

Azam, dalam maklum balas semalam, menyifatkan laporan Bloomberg sebagai berniat jahat dan menyatakan akan menghantar surat tuntutan. Beliau menegaskan saham berkenaan telah dibeli dan dilupuskan pada tahun sama serta diisytiharkan secara telus.

Salim menambah bahawa ketelusan dan profesionalisme SPRM terus dipantau oleh LPPR melalui kajian laporan tahunan serta ulasan dan pandangan kepada Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR). “LPPR akan terus melaksanakan tanggungjawabnya secara bebas, objektif, dan beramanah, tanpa dipengaruhi tekanan luar, bagi memastikan SPRM terus berfungsi dengan cekap, berintegriti, dan diyakini rakyat,” katanya.

-freemalaysiatoday