KUALA LUMPUR, 10 MAC 2026 (The Capital Post)- Aksi final Seluruh England 2026 menyaksikan pertukaran komen antara pemain beregu lelaki Korea Selatan, Seo Seung-jae dan pemain Malaysia, Aaron Chia selepas pertemuan sengit yang berlangsung di Birmingham.
Dalam perlawanan tersebut, gandingan Malaysia Aaron Chia dan Soh Wooi Yik terpaksa akur muncul naib juara selepas tewas kepada pasangan Korea Selatan, Kim Won-ho dan Seo Seung-jae dalam pertarungan tiga set yang mendebarkan. Pasangan Malaysia memenangi set pertama sebelum lawan bangkit untuk memenangi dua set berikutnya.
Selepas perlawanan itu, Seung-jae memuji keupayaan pasangan Malaysia yang memberi tekanan hebat sepanjang perlawanan, sambil mengakui aksi tersebut bukan sesuatu yang mudah walaupun mereka berjaya mempertahankan kejuaraan.
Aaron pula membalas dengan menghargai kata-kata tersebut dan mengakui perlawanan akhir itu berlangsung sangat sengit, selain menyifatkan pasangan Korea Selatan sebagai lawan yang kuat dan konsisten di pentas antarabangsa.
-Advertisement-
Pertemuan itu sekali lagi memperlihatkan persaingan sengit antara kedua-dua pasangan yang sering bertembung dalam kejohanan utama dunia.
Kekalahan tersebut menyaksikan Aaron dan Wooi Yik sekali lagi terlepas peluang menamatkan penantian Malaysia untuk merangkul gelaran beregu lelaki Seluruh England, walaupun mereka memberikan tentangan hebat kepada juara bertahan dari Korea Selatan.-The Capital Post