MA Martabatkan Peranan Jurulatih Tempatan

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR 10 MAC 2026 – Olahraga Malaysia (MA) mengambil langkah memperkasakan peranan jurulatih tempatan menerusi penstrukturan semula barisan kejurulatihan kebangsaan bagi memperkukuh pembangunan atlet negara.

Inisiatif itu menyaksikan pelantikan beberapa jurulatih tempatan bagi musim 2026/2027 selepas melalui proses penilaian dan temu duga oleh panel bebas bagi memastikan individu dipilih memiliki pengalaman serta kepakaran yang sesuai untuk membimbing atlet negara.

Dalam struktur baharu itu, Mohd Manshahar Abd Jalil dilantik sebagai Ketua Jurulatih bagi acara lompatan selain turut berperanan sebagai penyelaras program kejurulatihan untuk memastikan pelaksanaan latihan, pemantauan prestasi serta dokumentasi program berjalan secara lebih tersusun.

Selain itu, beberapa jurulatih turut dilantik dalam barisan Jurulatih Podium termasuk Mohd Nizam Md Yusof, Mohamad Ali Hamid, Zainuddin Yusoff dan Ahmad Firdaus Salim bagi membantu meningkatkan prestasi atlet kebangsaan.

-Advertisement-

Bagi memperkukuh pembangunan atlet pelapis, MA turut melantik beberapa bekas atlet negara sebagai jurulatih, antaranya Lee Hup Wei, Muhammad Hakimi Ismail, Tan Song Hwa, Lo Choon Sieng, Hisham Mustaza Ibrahim, Mohd Jironi Riduan dan Roslinda Samsu.

Langkah tersebut dilihat sebagai usaha memanfaatkan pengalaman bekas atlet untuk membantu melahirkan generasi baharu atlet olahraga negara selain memastikan kesinambungan pembangunan sukan itu di peringkat kebangsaan.

MA juga menetapkan sasaran pembangunan untuk dua kitaran Sukan SEA sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjang bagi meningkatkan prestasi atlet Malaysia di pentas serantau dan antarabangsa melalui kepakaran jurulatih tempatan.-Berita Harian