TANGKAK, 19 November (The Capital Post) – Polis sedang menyiasat tiga pelajar lelaki berusia 15 tahun berhubung dakwaan kejadian buli terhadap seorang rakan sekolah berusia 14 tahun di sebuah sekolah menengah di daerah ini, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd Talib berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 12.09 tengah malam, Sabtu lalu.
Menurutnya, mangsa dipercayai dipukul di dalam kelas dan kawasan pondok sekolah sekitar jam 8 pagi pada hari kejadian.
Beliau berkata mangsa mendakwa ditendang, ditumbuk dan disepak berulang kali pada beberapa bahagian badan sehingga mengalami kecederaan tisu lembut di bahagian kiri kepala, dada, perut serta lengan kiri.
Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham berkaitan perbualan dalam kumpulan WhatsApp yang menimbulkan rasa tidak puas hati antara pelajar terbabit.
-Advertisement-
Mangsa telah mendapatkan rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Roslan berkata pihak polis memandang serius sebarang bentuk buli dan keganasan, khususnya dalam kalangan pelajar.
Sehubungan itu, beliau menyeru ibu bapa serta pihak sekolah supaya sentiasa peka terhadap tingkah laku anak-anak dan tidak memandang ringan sebarang aduan berkaitan buli.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat yang boleh mendedahkan identiti remaja yang terlibat dalam kejadian tersebut. – The Capital Post