UMNO Hormati ADUN BN, Tapi Kekal Sokong Kerajaan Perpaduan Negeri

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR, 30 April 2026 (TheCapitalPost) – UMNO Malaysia menegaskan pendirian parti itu untuk terus mempertahankan Institusi Raja-Raja Melayu selaras dengan asas perjuangan parti seperti termaktub dalam Perlembagaan UMNO.

Perkara itu dinyatakan menerusi kenyataan media Setiausaha Agung UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki selepas Mesyuarat Biro Politik UMNO Malaysia yang berlangsung pada 29 April 2026.

Menurut kenyataan tersebut, UMNO memandang serius perkembangan mutakhir yang melibatkan krisis Institusi Raja dan adat di Negeri Sembilan sehingga mencetuskan polemik besar serta salah faham dalam kalangan parti komponen Kerajaan Perpaduan di negeri berkenaan.

Dalam masa sama, UMNO turut memaklumkan bahawa pihaknya telah menerima penjelasan daripada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan berhubung tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional yang hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan.

Kehilangan kepercayaan itu didakwa berpunca daripada sikap Menteri Besar yang disifatkan membelakangkan Institusi Adat serta Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, UMNO menegaskan bahawa parti itu tetap komited untuk memastikan kestabilan Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan terus terpelihara demi kesejahteraan rakyat.

-Advertisement-

“UMNO Malaysia berpendirian untuk menghormati ADUN Barisan Nasional yang kekal hilang kepercayaan kepada Menteri Besar, namun pada masa sama terus menyokong Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan bagi memastikan kestabilan dan kesejahteraan rakyat terpelihara,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, UMNO turut mencadangkan agar satu pertemuan segera diadakan antara Biro Politik UMNO dan Biro Politik Pakatan Harapan bagi merungkai isu yang timbul melibatkan prinsip perjuangan kedua-dua parti.

Cadangan itu selaras dengan Klausa 5(c) Perjanjian Persefahaman pembentukan Kerajaan Perpaduan yang menetapkan segala isu dasar perlu diselesaikan menerusi Majlis Perundingan.

Perkembangan itu dijangka menjadi perhatian ramai memandangkan ia melibatkan hubungan antara komponen dalam Kerajaan Perpaduan serta sensitiviti berkaitan Institusi Raja dan adat Melayu di Negeri Sembilan. -The Capital Post