KOTA BHARU: Polis merekodkan lebih 10 keterangan individu setakat ini berhubung kematian penuntut kolej yang ditemui dengan 61 kesan tikaman di Ketereh, Jumaat lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata mereka yang diambil keterangan termasuk keluarga mangsa dan rakan serumah mangsa selain saksi kejadian.
“Sehingga kini siasatan masih lagi berjalan dan kita dalam proses melengkapkan kertas siasatan.
“Malah motif utama kejadian berkenaan belum dapat disahkan dan masih dalam penelitian.
“Setakat ini, kita menganggap kes ini selesai dengan penangkapan suspek remaja lelaki berusia 19 tahun itu. Tiada lagi tangkapan lain selepas ini,” katanya ketika dihubungi.
-Advertisement-
Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam Jumaat, mayat seorang wanita yang ditemui di Kampung Padang Simah, Ketereh, dengan mempunyai 61 kesan tikaman di seluruh anggota badannya.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat dilaporkan berkata, mangsa ditinggalkan tanpa sebarang dokumen pengenalan diri, namun pihaknya sudah mengenal pasti mangsa berdasarkan semakan cap jari oleh Jabatan Pendaftaran Negara.
Beliau berkata, mangsa dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dibuang di lokasi terbabit. – Berita Harian