KUALA LUMPUR 7 Mei (The Capital Post) – Malaysia dan Brazil terus memperkukuhkan hubungan strategik dalam sektor semikonduktor dan ekonomi digital menerusi penglibatan bersama pada program SEMICON Southeast Asia 2026 (SEMICON SEA 2026) yang berlangsung di ibu negara.
Program berprofil tinggi itu menyaksikan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) bekerjasama dengan Kedutaan Brazil di Kuala Lumpur dalam sesi libat urus khas yang menampilkan Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Anuar Fariz Fadzil.
Sesi tersebut memberi tumpuan kepada potensi kerjasama dua hala antara Malaysia dan Brazil khususnya dalam rantaian nilai teknologi maju serta industri semikonduktor yang semakin berkembang di peringkat global.
Antara sorotan utama acara ialah pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara MDEC dan Invest Rio Grande do Sul yang disaksikan oleh Duta Besar Brazil ke Malaysia, Daniella Ortega de Paiva Menezes.
MoU tersebut menjadi asas kepada kerjasama lebih erat dalam bidang perdagangan digital, pemudahcaraan pelaburan, pembangunan ekosistem dan akses pasaran melibatkan sektor strategik termasuk semikonduktor, bandar pintar, kandungan digital, teknologi kewangan (fintech) dan keselamatan siber.
-Advertisement-
Kerjasama berkenaan dilihat selari dengan agenda nasional semikonduktor Malaysia yang memberi penekanan kepada pengukuhan daya tahan rantaian bekalan, peningkatan pelaburan berteraskan inovasi serta penciptaan nilai ekonomi mampan untuk kedua-dua negara.
Selain itu, program tersebut turut melibatkan sesi lawatan ke reruai syarikat di bawah inisiatif MDEC Global Acceleration and Innovation Network (GAIN) termasuk Pentamaster Corporation Berhad, Vitrox Corporation Berhad, TT Vision Technologies Sdn Bhd dan DF Automation Sdn Bhd.
Penyertaan syarikat tempatan itu berjaya mengetengahkan kekuatan dan keupayaan Malaysia dalam industri semikonduktor kepada pemain industri serta pelabur antarabangsa yang menghadiri SEMICON SEA 2026. -The Capital Post