KUALA LUMPUR, 6 Mei (The Capital Post) – Jawatankuasa Pilihan Perhubungan Antarabangsa dan Perdagangan Antarabangsa Dewan Rakyat mengesyorkan agar satu sidang khas Parlimen diadakan secepat mungkin, selewat-lewatnya awal Jun 2026, bagi membincangkan secara menyeluruh perkembangan konflik di Asia Barat yang memberi kesan kepada Malaysia.
Mesyuarat jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Wong Chen telah berlangsung di Parlimen Malaysia pada 6 Mei 2026 (Rabu), dengan penyertaan ahli-ahli Parlimen merentas parti.
Antara yang hadir termasuk Willie Mongin, Ku Abd Rahman Ku Ismail, Muhammad Bakhtiar Wan Chik, Chong Zhemin, Lee Chuan How, Aminolhuda Hassan, Syerleena Abdul Rashid, Andi Muhammad Suryady Bandy, Mohd Suhaimi Abdullah, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Muhammad Ismi Mat Taib.
Mesyuarat turut dihadiri oleh pegawai kanan kementerian termasuk Timbalan Ketua Setiausaha (Hubungan Dua Hala) Kementerian Luar Negeri, YBhg. Dato’ Ahmad Rozian Abd. Ghani, serta Timbalan Ketua Setiausaha (Pelaburan dan Pengurusan) Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, YBhg. Datuk Bahria Mohd Tamil, selain wakil ex-officio daripada Kementerian Ekonomi.
Dalam mesyuarat tersebut, Kementerian Luar Negeri memberi taklimat berhubung situasi semasa konflik di Asia Barat serta kesannya terhadap hubungan diplomatik Malaysia, termasuk dengan Iran dan negara-negara terlibat. Kementerian itu turut memaklumkan garis panduan perjalanan ke luar negara serta pemantauan berterusan terhadap perkembangan geopolitik.
-Advertisement-
Sementara itu, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri membentangkan pendekatan Malaysia dalam menangani impak terhadap pelaburan dan perdagangan negara, termasuk strategi mitigasi risiko. Kementerian Ekonomi pula berkongsi pandangan mengenai kesan konflik terhadap pertumbuhan ekonomi domestik.
Selepas mendengar taklimat, ahli-ahli jawatankuasa sebulat suara berpandangan bahawa isu ini perlu dibawa ke peringkat Dewan Rakyat melalui satu sidang khas bagi membolehkan perbahasan yang lebih menyeluruh dan telus.
Menurut jawatankuasa tersebut, Parlimen merupakan platform terbaik untuk membincangkan isu berimpak tinggi ini demi memastikan kepentingan rakyat Malaysia terus dilindungi serta kebimbangan awam dapat dijelaskan secara tuntas.
Jawatankuasa turut merakamkan penghargaan kepada semua kementerian terlibat atas komitmen dan kerjasama dalam memberikan penerangan serta input berkaitan perkembangan semasa konflik Asia Barat. – The Capital Post