SUNGAI BULOH 7 Mei(The Capital Post) – Polis Daerah Sungai Buloh sedang giat mengesan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Bandar Pinggiran Subang, Shah Alam pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan remaja terbabit daripada ibunya pada 6 Mei sekitar jam 12.34 tengah hari.
Mangsa dikenali sebagai Mya Qyasyeh Qyaisara Abdullah dan dilaporkan keluar dari kediamannya di Pangsapuri Orkid, Jalan Waruna U5/131A sekitar jam 7.10 pagi sebelum gagal dihubungi sehingga kini.
Menurut maklumat polis, remaja itu mempunyai fizikal badan kurus tinggi dengan ketinggian kira-kira 157 sentimeter dan berat sekitar 49 kilogram. Mangsa juga berkulit coklat, berambut panjang ikal berwarna hitam serta mempunyai tahi lalat di pipi kiri.
-Advertisement-
Ketika kali terakhir dilihat, mangsa dipercayai memakai pakaian sekolah terdiri daripada baju putih, kain biru, bertudung putih dan berselipar.
Polis meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai lokasi atau keberadaan remaja berkenaan supaya segera menghubungi balai polis berhampiran atau Sarjan Mohd Hizam Talib menerusi talian 012-6550262 bagi membantu siasatan.
Usaha mengesan mangsa sedang diteruskan dan pihak polis berharap kerjasama orang ramai dapat membantu mempercepatkan proses pencarian remaja terbabit. -The Capital Post