KUALA LUMPUR 8 Mei 2026 (The Capital Post) – Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) terus memperkukuh kerjasama strategik dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menerusi Digital Investment Office (DIO) dalam usaha menarik lebih banyak pelaburan digital bernilai tinggi ke negara ini.
Kerjasama tersebut dilihat sebagai langkah penting bagi mempercepat penggunaan teknologi generasi baharu selain memperkukuh ekosistem digital negara selaras dengan aspirasi Malaysia menjadi hab digital utama di rantau ini.
Satu sesi libat urus peringkat tinggi yang diketuai oleh Naib Presiden Kanan Industri dan Ekosistem MDEC, Gopi Ganesalingam, bersama Naib Presiden Kewangan Korporat MDEC, Nik Amalina Nik Zakaria dan Pengarah Eksekutif Pembangunan Perkhidmatan MIDA, Rosedalina Ramlan telah memberi fokus kepada penyelarasan usaha promosi serta pemudah cara kepada pelabur global.
Perbincangan itu turut menyentuh usaha memperkukuh koordinasi antara agensi bagi memastikan proses pelaburan digital di Malaysia lebih cekap, pantas dan mesra pelabur.
-Advertisement-
Menurut MDEC, kerjasama bersepadu itu bukan sekadar memperluaskan pembangunan teknologi, malah memainkan peranan penting dalam menyokong agenda pembentukan “AI Nation” menjelang tahun 2030.
Pendekatan tersebut juga dijangka membantu meletakkan Malaysia sebagai pintu gerbang digital utama serantau menerusi pembangunan infrastruktur teknologi, inovasi dan bakat digital yang mampan.
MDEC dan MIDA optimis kerjasama strategik berkenaan mampu meningkatkan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap potensi ekonomi digital Malaysia sekali gus merangsang pertumbuhan sektor teknologi negara pada masa hadapan. – The Capital Post