KUALA LUMPUR: Di sebalik perseteruan hebat di atas padang, dua gergasi serantau, Buriram United dan Johor Darul Ta’zim (JDT) perlu terus bekerjasama di luar padang bagi meningkatkan reputasi bola sepak ASEAN.
Presiden Buriram United, Newin Chidchob menegaskan dua pasukan itu seharusnya berdiri teguh untuk mengangkat martabat bola sepak ASEAN supaya mampu bersaing dengan pasukan terbaik Asia di pentas Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).
Malah, beliau turut mengharapkan dua pasukan itu akan kekal sebagai seteru yang dihormati dan menjadi sahabat teguh dalam membangunkan dan memartabatkan bola sepak ASEAN agar terus mendapat penghormatan, perhatian dan pengiktirafan yang lebih besar di pentas dunia.
“Bersama-sama, kita mesti memastikan semua kelab di Asia memberikan penghormatan sewajarnya kepada bola sepak ASEAN dan tidak lagi memandang rendah terhadap kekuatan serta potensinya.
“Selain itu, kita juga perlu berusaha menarik pemain-pemain berbakat dari seluruh dunia untuk membawa kemahiran dan semangat mereka ke liga-liga ASEAN dalam jumlah yang semakin ramai.
“Dengan cara ini, kita dapat meningkatkan standard bola sepak di rantau ini dan memberikan lebih kegembiraan serta keterujaan kepada para penyokong yang mencintai sukan bola sepak,” katanya.
-Advertisement-
Dalam masa sama, Newin turut mengalu-alukan kehadiran pemilik JDT yang juga Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail pada aksi separuh akhir kedua Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) di Arena Chang, 13 Mei ini.
“Sebagai Presiden Buriram United dan juga rakyat yang bangga dengan Buriram, adalah satu penghormatan besar buat saya untuk mengalu-alukan kehadiran Duli Yang Amat Mulia, Johor Darul Ta’zim F.C. serta seluruh penyokong dari Johor yang akan menghadiri perlawanan timbal balik di Chang Arena.
“Saya berharap setiap tetamu akan menikmati layanan dan pengalaman terbaik sejak saat ketibaan sehingga hari kepulangan mereka,” katanya.
Sebagai rekod, Buriram United membawa kelebihan dua gol menuju aksi separuh akhir kedua ACC selepas menumbangkan skuad Harimau Selatan 3-1 pada aksi pertama di Stadium Sultan Ibrahim, Rabu lalu. – Berita Harian