Pemuda AMANAH Mahu Potong Elaun MP

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR 9 Mei 2026 (The Capital Post) – Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) mencadangkan supaya satu mekanisme pemotongan gaji atau elaun diperkenalkan terhadap Ahli Parlimen yang gagal menghadiri sidang Dewan Rakyat tanpa alasan munasabah.

Menurut sayap pemuda parti itu, sistem sedia ada ketika ini hanya memberi ganjaran dalam bentuk elaun kehadiran kepada Ahli Parlimen yang hadir ke sidang Parlimen, namun tidak mempunyai bentuk hukuman lebih tegas terhadap wakil rakyat yang kerap tidak hadir.

Mereka berpandangan bahawa tugas utama Ahli Parlimen adalah membawa suara rakyat ke Dewan Rakyat selain mengambil bahagian dalam perbahasan, menyemak dasar kerajaan serta mengemukakan penyelesaian kepada isu rakyat dan negara.

Sehubungan itu, Pemuda AMANAH mencadangkan supaya kadar kehadiran minimum Ahli Parlimen ditetapkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada jumlah keseluruhan hari sidang tahunan kecuali atas faktor kecemasan atau urusan rasmi yang dibenarkan.

Menurut kenyataan itu, walaupun Perkara 52(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kerusi Ahli Parlimen boleh dikosongkan sekiranya gagal hadir selama enam bulan berturut-turut tanpa kebenaran Dewan, peruntukan tersebut disifatkan terlalu longgar dan kurang berkesan.

Mereka mendakwa seseorang Ahli Parlimen masih boleh mengelakkan tindakan dengan hanya menghadiri sidang secara sekali-sekala sebelum kembali tidak hadir untuk tempoh panjang yang lain.

-Advertisement-

Atas faktor itu, Pemuda AMANAH menegaskan perlunya reformasi baharu termasuk pelaksanaan pemotongan elaun atau gaji secara berkadar berdasarkan rekod kehadiran tahunan serta penguatkuasaan syarat minimum kehadiran yang lebih realistik.

Dalam masa sama, mereka turut mendakwa data kehadiran sidang menunjukkan antara Ahli Parlimen yang mempunyai rekod ketidakhadiran tertinggi datang daripada blok pembangkang.

Kenyataan itu turut membandingkan tahap kehadiran Perdana Menteri yang disifatkan lebih konsisten walaupun memikul tanggungjawab besar dalam pentadbiran negara dan hubungan antarabangsa.

Pemuda AMANAH menegaskan golongan muda mahu budaya politik negara dipimpin dengan amanah dan rasa tanggungjawab, bukannya budaya ponteng atau memandang ringan mandat rakyat. -The Capital Post