KUALA LUMPUR: Petronas LNG Ltd (PLL) memeterai perjanjian carter atau sewa khas selama 20 tahun bersama MISC Group bagi lima kapal pengangkut gas asli cecair (LNG) baharu berkapasiti 174,000 meter padu.
Langkah itu dijangka memperkukuh kebolehpercayaan bekalan LNG bagi jangka panjang selain menyokong peralihan tenaga pelanggan ke arah masa depan rendah karbon.
Dalam kenyataan hari ini, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) memaklumkan perjanjian berkenaan dimeterai baru-baru ini oleh Ketua Pegawai Eksekutif PLL, Ezran Mahadzir, manakala MISC diwakili Naib Presiden Aset Gas dan Penyelesaian, Hazrin Hasan.
“Ini susulan pemeteraian kontrak pembinaan kapal antara MISC dan Hudong-Zhonghua Shipbuilding (Group) Co Ltd pada Januari dan Februari 2026.
-Advertisement-
“Kapal pengangkut canggih ini akan dibina di Shanghai, China dengan jangkaan permulaan sewa khas pada 2029 hingga 2030,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Gas dan Maritim Petronas, Adif Zulkifli, menyifatkan penambahan kapal LNG baharu itu sebagai satu lagi pencapaian penting ketika syarikat terus memanfaatkan kekuatan kolektif perniagaannya untuk mewujudkan nilai jangka panjang merentasi rantaian nilai LNG.
“Menerusi langkah menyelaraskan aspirasi pertumbuhan syarikat bersama kepakaran maritim MISC, kami memperkukuh keupayaan bersepadu yang menyokong kedudukan Petronas sebagai pembekal LNG global yang diyakini,” katanya.
Petronas berkata, kapal berkenaan akan dilengkapi teknologi moden yang dipacu kecekapan selaras dengan standard alam sekitar dan operasi yang semakin berkembang.
Ia termasuk teknologi rejangan jet terkini XDF2.1, generator syaf yang meningkatkan kecekapan bahan api ketika pelayaran serta kemudahan pencairan semula bagi menguruskan proses berkaitan dengan lebih cekap.
“MISC akan menyediakan perkhidmatan pengurusan projek sepanjang tempoh pembinaan kapal itu yang disusuli dengan pengoperasian dan pengurusan kapal sejurus penghantaran bermula 2029.
“Pendekatan bersepadu ini memastikan kesinambungan serta kebolehpercayaan operasi lebih tinggi dari peringkat pembinaan hingga operasi komersial dengan memanfaatkan pengalaman luas MISC dalam pengurusan kapal LNG,” menurut kenyataan itu.
Petronas berkata, kerjasama berkenaan turut mencerminkan tumpuan berterusan syarikat dalam memperkukuh daya tahan dan kebolehpercayaan rantaian bekalan LNG menerusi perkongsian strategik selain menyumbang kepada pembangunan keupayaan tenaga dan maritim Malaysia. – Bernama