ACE Camp Dedah Pelajar Dunia Kerjaya

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR 9 Mei 2026 (The Capital Post) – Program ACE (Aspire Career and Education) Camp yang dianjurkan oleh Financial Industry Collective Outreach (FINCO) terus membantu pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), khususnya daripada keluarga berpendapatan rendah, memahami kehendak industri serta merancang hala tuju kerjaya dengan lebih jelas.

Program tahunan selama tiga hari itu diwujudkan bagi memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai pelbagai peluang kerjaya, selain membantu mereka membina rangkaian profesional dan meningkatkan kemahiran kebolehpasaran.

Sepanjang kem berlangsung, peserta mengikuti pelbagai aktiviti termasuk bengkel penulisan resume, sesi temu duga olok-olok, forum bersama pakar industri kewangan serta lawatan ke tempat kerja bagi memahami situasi sebenar alam pekerjaan.

Menurut FINCO, sebanyak 96 peratus daripada 77 pelajar yang menyertai program tahun ini berjaya mengenal pasti sekurang-kurangnya dua langkah penting untuk mencapai cita-cita selepas SPM, manakala 98 peratus pula mampu menyatakan sekurang-kurangnya satu kemahiran yang diperlukan untuk masa depan mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif FINCO, Clare Walker berkata, pendedahan kepada pelbagai industri membantu pelajar membuat keputusan lebih baik mengenai masa depan mereka berdasarkan minat dan kekuatan masing-masing.

Katanya, pemahaman terhadap jenis pekerjaan, kemahiran serta laluan kerjaya yang tersedia membolehkan pelajar menetapkan matlamat lebih jelas dan bersedia menghadapi dunia pekerjaan.

-Advertisement-

Tahun ini, FINCO menjalinkan kerjasama dengan organisasi daripada pelbagai sektor termasuk seni bina, penerbangan, pendidikan, kewangan, pembangunan permainan digital, penguatkuasaan undang-undang dan perubatan bagi menyediakan pengalaman lawatan industri yang lebih menyeluruh.

Antara organisasi yang terlibat ialah AmBank (M) Berhad, Public Investment Bank Berhad (PIVB), Electronic Arts Malaysia, Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields, NU-SA Architect, Pusat Kreatif Kanak-Kanak Tuanku Bainun, Subang Jaya Medical Centre (SJMC) dan Subang MRO.

Pelajar turut didedahkan kepada penggunaan terminal Bloomberg, analisis data pasaran saham, kerja grafik dan animasi, selain memahami pelbagai laluan pendidikan termasuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Seorang peserta dari Terengganu, Umaira Qasrina Sudirman, 18, berkata program tersebut membuka matanya terhadap pelbagai peluang kerjaya yang masih relevan untuk masa depan selain membantu meningkatkan kemahiran komunikasi dan temu duga.

Selain aktiviti kem, peserta juga dipadankan dengan mentor daripada beberapa institusi kewangan termasuk AmBank, BNP Paribas Malaysia Berhad, Citibank Berhad, Generali Insurance Malaysia Berhad, Manulife Insurance Berhad dan Sun Life Malaysia Assurance Berhad sehingga penghujung tahun ini.

Pengerusi FINCO, Tan Sri Azman Hashim berkata, kerjasama rapat bersama industri kewangan memainkan peranan penting dalam memastikan pelajar menerima pendedahan praktikal yang membantu peralihan mereka daripada alam persekolahan ke pendidikan tinggi atau alam pekerjaan. – The Capital Post