Fadhlina Santuni Pelajar Cemerlang Miri

Estimate Reading Time: < 1 minute

MIRI 11 Mei 2026 (The Capital Post) – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menghadiri Program Randau di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Sarawak, Miri bersama delegasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam usaha memperkukuh hubungan bersama warga pendidikan di negeri itu.

Turut hadir dalam program berkenaan ialah Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah), Zainal Abas; Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak, Omar Mahli serta pegawai kanan kementerian, warga Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak dan pelajar IPG Kampus Sarawak.

Program tersebut menjadi medan interaksi dan sesi ramah mesra antara Menteri Pendidikan bersama pensyarah serta pelajar, selain memberi penjelasan mengenai hala tuju Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035 yang bakal menjadi panduan pembangunan sistem pendidikan negara.

Dalam lawatan sama, Fadhlina Sidek turut menghadiri Majlis Menyantuni Pelajar Cemerlang SPM 2025 bagi daerah Miri, Baram dan Subis yang diadakan di SMK Baru, Miri.

-Advertisement-

Seramai 99 pelajar daripada pelbagai sekolah di kawasan terbabit diraikan atas pencapaian cemerlang mereka dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.

Majlis berkenaan turut mendapat sokongan daripada ibu bapa dan masyarakat setempat yang hadir bagi meraikan kejayaan pelajar serta menghargai usaha berterusan dalam memperkasakan kecemerlangan pendidikan di Sarawak. – The Capital Post