Anwar Tambah RM50 Juta Untuk MITRA

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR 11 Mei 2026 (The Capital Post) – Kerajaan MADANI terus memperkukuh agenda pembangunan komuniti India apabila Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengumumkan tambahan peruntukan sebanyak RM50 juta kepada Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) sempena Majlis Ramah Mesra Bersama Mahasiswa India Malaysia di Universiti Malaya.

Majlis yang berlangsung di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya itu turut menyaksikan penyerahan bantuan peranti digital baharu kepada kira-kira 3,000 mahasiswa India di seluruh negara bagi memperluaskan akses kepada pendidikan digital yang lebih inklusif dan saksama.

Dalam program sama, kerajaan turut menyerahkan cek cura Bantuan Kemasukan IPT Tahun 2025 kepada seramai 4,165 pelajar daripada pusat bertauliah, institusi pengajian tinggi awam serta swasta dengan jumlah keseluruhan peruntukan mencecah RM8.347 juta.

Menerusi ucapannya, Perdana Menteri berkata tambahan dana kepada MITRA menjadikan keseluruhan peruntukan bagi tahun 2026 meningkat kepada RM150 juta sebagai usaha memperkukuh pembangunan sosioekonomi masyarakat India di negara ini.

-Advertisement-

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Menteri Sumber Manusia, Ramanan Ramakrishnan serta Ketua Pengarah MITRA, Raveendran Nair atas pelaksanaan pelbagai program pembangunan komuniti yang memberi manfaat kepada rakyat.

Menurut beliau, kerajaan komited memastikan pembangunan pendidikan, latihan kemahiran, keusahawanan dan kebajikan sosial terus diperkasa demi meningkatkan taraf hidup rakyat secara menyeluruh.

Tambahnya lagi, bantuan yang disalurkan bukan hanya berbentuk sokongan kewangan semata-mata, sebaliknya merupakan pelaburan strategik negara bagi memastikan golongan muda terus mendapat akses pendidikan dan peluang untuk bersaing pada masa hadapan. – The Capital Post