GEORGETOWN: Pulau Pinang merekodkan peningkatan ketara dalam sektor pelancongan perubatan apabila jumlah pesakit warga asing meningkat kepada 527,176 orang pada 2025 iaitu melonjak sebanyak 25.94 peratus berbanding tahun sebelumnya.
EXCO Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai, berkata peningkatan itu turut menyaksikan penjanaan pendapatan mencecah RM1.136 bilion iaitu pertambahan sebanyak 26.60 peratus berbanding RM898.07 juta yang direkodkan pada 2024.
Beliau berkata, berdasarkan data Pusat Pelancongan Perubatan Pulau Pinang (PMED) membabitkan 16 hospital swasta di negeri itu, jumlah pesakit warga asing pada 2024 adalah seramai 418,608 orang.
“Sempena Tahun Pelancongan Perubatan Malaysia (MYMT) 2026, kerajaan negeri merangka beberapa strategi bagi terus memperkukuhkan sektor pelancongan perubatan di Pulau Pinang,” katanya menjawab soalan Ong Ah Teong (DAP-Batu Lancang) mengenai pencapaian Pulau Pinang dalam sektor pelancongan perubatan, pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, hari ini.
-Advertisement-
Hon Wai berkata, antara langkah yang dilaksanakan termasuk kerjasama dengan syarikat penerbangan bagi menarik lebih ramai pelancong perubatan dari luar negara. “Melalui program ini, penumpang yang mempunyai pas masuk dari luar Malaysia boleh menikmati diskaun sebanyak 15 peratus bagi pakej pemeriksaan kesihatan sekiranya mereka memegang pasport asing dan program itu bermula 1 Oktober 2025 hingga 31 Disember 2026,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri turut menawarkan kemudahan pembayaran menggunakan mata wang negara asal pesakit seperti Rupiah Indonesia menerusi kod Quick Response Indonesian Standard (QRIS), sekali gus membolehkan kadar pertukaran asing lebih rendah berbanding penggunaan kad debit atau kredit. – Berita Harian