MELAKA 12 Mei 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pertahanan terus komited memperkukuh kesiapsiagaan operasi dan kebajikan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi pemantauan berterusan terhadap aspek latihan, fasiliti dan kesejahteraan anggota.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari telah mengadakan lawatan kerja sehari ke Kem Sungai Udang bagi meninjau tahap pengoperasian Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK).
Dalam lawatan tersebut, beliau diberikan taklimat berkaitan fungsi dan peranan Grup Gerak Khas (GGK), tahap kesiagaan taktikal serta modul latihan yang dilaksanakan di pusat latihan berkenaan.
Adly Zahari turut melawat fasiliti Cawangan Rigger 21 Komando yang menyediakan latihan kemahiran berkaitan payung terjun bagi anggota pasukan khas ATM.
-Advertisement-
Selain meninjau aspek kesiapsiagaan operasi, beliau turut menyantuni warga GGK serta menyampaikan sumbangan kebajikan kepada anggota dan keluarga yang menghidap penyakit kronik selain menyerahkan sumbangan kepada Masjid Al-Firdaus.
Terdahulu, beliau turut meninjau projek naik taraf sistem retikulasi air di Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) melibatkan RKAT Desa Tun Razak, Desa Ria Tangga Batu serta Desa Taming Sari 1 dan 2.
Projek yang dilaksanakan oleh Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan Pertahanan (BPKP) itu melibatkan kos keseluruhan RM13.5 juta bagi memastikan bekalan air yang selamat dan mencukupi kepada warga ATM di kawasan berkenaan. – The Capital Post