KPT Perkukuh Kerjasama Bersama US-ABC

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA 13 Mei 2026 (The Capital Post)Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus memperkukuh hubungan strategik dan kerjasama industri antarabangsa menerusi sesi kunjungan hormat delegasi US-ASEAN Business Council (US-ABC) yang diketuai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Brian D. McFeeters.

Menteri Pendidikan Tinggi, Zambry Abd Kadir berkata pertemuan tersebut menjadi platform penting dalam memperkukuh sinergi antara kerajaan dan syarikat multinasional Amerika Syarikat bagi menyokong agenda transformasi pendidikan tinggi negara.

Antara fokus utama yang dibincangkan termasuk pembangunan bakat berimpak tinggi, transformasi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kerjasama awam-swasta (PPP), transformasi digital serta pembangunan ekonomi hijau.

Menurut beliau, KPT komited memastikan graduan tempatan dilengkapi dengan kemahiran teknikal dan keupayaan digital yang relevan bagi menghadapi cabaran ekonomi global yang semakin kompetitif.

KPT turut mengalu-alukan penglibatan syarikat-syarikat Amerika Syarikat dalam memperkukuh pembangunan bakat menerusi program latihan industri, perantis, pembangunan kurikulum secara bersama serta Program Train-the-Trainer bagi meningkatkan kompetensi tenaga pengajar.

-Advertisement-

Perbincangan tersebut turut memberi tumpuan kepada sektor bernilai tinggi seperti kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, aeroangkasa dan teknologi hijau yang dilihat mampu menyokong aspirasi Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi berteraskan inovasi.

Sesi itu turut disertai beberapa syarikat multinasional terkemuka termasuk Apple, Abbott Laboratories, Boeing, IBM, Micron Technology dan Moody’s.

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha KPT, Aminuddin Hassim bersama pegawai kanan kementerian. – The Capital Post