PUTRAJAYA 13 Mei 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menegaskan institusi pendidikan tinggi perlu terus menjadi platform penting dalam memperkukuh budaya ilmu dan pemikiran kritikal bagi membantu masyarakat memahami isu geopolitik global secara lebih objektif dan berfakta.
Menteri Pendidikan Tinggi, Zambry Abd Kadir berkata universiti mempunyai tanggungjawab besar dalam membentuk keberanian intelektual untuk membincangkan isu antarabangsa berlandaskan ilmu, etika dan nilai kemanusiaan.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan sempena Syarahan Umum bertajuk “Tamadun dalam Tekanan: Ilmu, Etika dan Kepimpinan dalam Era Konflik Global (Civilisation Under Strain: Knowledge, Ethics and Leadership in a Time of Global Conflict)” yang disampaikan tokoh akademik antarabangsa, Seyyed Vali Reza Nasr di Dewan Za’ba KPT petang tadi.
Seyyed Vali Reza Nasr yang merupakan Profesor Pengajian Asia Barat dan Hal Ehwal Antarabangsa di Johns Hopkins University turut berkongsi pandangan mengenai perubahan landskap politik global termasuk kedudukan Iran sebagai sebuah “negara tamadun” yang mempunyai pengaruh besar dalam geopolitik moden.
Dalam syarahan tersebut, beliau turut menyentuh ketegangan semasa melibatkan Iran, Israel dan Amerika Syarikat serta implikasinya terhadap ekonomi, keselamatan dan kestabilan dunia termasuk rantau Asia Tenggara.
Program itu dianjurkan oleh KPT dengan kerjasama Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
-Advertisement-
Dalam sidang media selepas program, Seyyed Vali Reza Nasr turut menyuarakan kebimbangan terhadap situasi gencatan senjata yang masih rapuh di Asia Barat serta kesannya terhadap kestabilan serantau dan global.
Sementara itu, Zambry Abd Kadir berkata KPT akan terus memperluas jaringan kerjasama bersama tokoh intelektual dunia bagi memperkukuh wacana akademik dan mengelakkan masyarakat daripada terjebak dalam polarisasi pemikiran.
Beliau menegaskan usaha tersebut selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI untuk menjadikan negara sebagai hab kecemerlangan ilmu yang mampu menyumbang idea dan penyelesaian strategik terhadap isu keamanan sejagat.
Majlis ilmu berkenaan turut dihadiri barisan kepimpinan tertinggi kementerian, jabatan, agensi dan universiti termasuk Ketua Setiausaha KPT, Aminuddin Hassim serta Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Ahmad Rizal Adnan. – The Capital Post