Malaysia Bantah Norway Tarik Balik Lesen NSM

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR, 14 Mei 2026 (The Capital Post) – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuarakan bantahan tegas Malaysia terhadap keputusan unilateral Norway menarik balik lesen eksport bagi sistem Naval Strike Missile (NSM) dan pelancar berkaitannya yang sebelum ini diperoleh Malaysia.

Anwar berkata bantahan itu disampaikan secara langsung dalam perbualan telefon bersama Perdana Menteri Norway, Jonas Gahr Støre, susulan keputusan yang disifatkan sebagai tidak boleh diterima dan didakwa dibuat atas alasan melindungi keselamatan Norway.

Menurut beliau, Malaysia telah memenuhi setiap obligasi di bawah kontrak tersebut sejak tahun 2018 secara penuh, teliti dan tanpa sebarang pelanggaran syarat.

“Malaysia telah menghormati setiap obligasi di bawah kontrak ini sejak 2018 dengan penuh tanggungjawab, setia dan tanpa sebarang keraguan. Namun Norway dilihat tidak menunjukkan tahap kepercayaan dan semangat kerjasama yang sama,” katanya.

-Advertisement-

Anwar turut menegaskan bahawa keputusan berkenaan akan memberi kesan besar terhadap tahap kesiapsiagaan operasi pertahanan Malaysia serta program pemodenan Littoral Combat Ship (LCS).

Beliau berkata tindakan Norway itu juga berpotensi membawa implikasi lebih luas terhadap keseimbangan keselamatan serantau selain menjejaskan keyakinan terhadap pembekal pertahanan Eropah sebagai rakan strategik.

“Kontrak yang dimeterai adalah instrumen yang serius dan bukan sesuatu yang boleh diperlakukan secara sewenang-wenangnya. Jika pembekal pertahanan Eropah berasakan mereka boleh menarik diri tanpa akibat, maka nilai mereka sebagai rakan strategik akan terhakis,” katanya lagi.

Kenyataan itu mencerminkan pendirian tegas Malaysia dalam mempertahankan kepentingan keselamatan negara serta memastikan komitmen antarabangsa dalam sektor pertahanan dihormati sepenuhnya. – The Capital Post.