KUALA LUMPUR 14 Mei 2026 (The Capital Post) – Pusat Darah Negara terus mempergiat agenda transformasi digital sektor kesihatan menerusi pelaksanaan fasa baharu perluasan Sistem Blood Bank Information System Versi 2 (BBISv2) ke wilayah utara negara.
Inisiatif tersebut dimulakan melalui Sesi Kick-Off Tender Perkakasan dan Perisian ICT serta perluasan sistem BBISv2 untuk Pusat Darah Negara Wilayah Utara yang dianjurkan bersama rakan strategik, Sejati Solutions Sdn Bhd.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Pengarah Pusat Darah Negara, Dr. Nor Nazahah Mahmud, yang menegaskan bahawa pelaksanaan projek tersebut merupakan langkah penting dalam memperkukuh sistem pengurusan darah negara secara lebih efisien dan selamat.
Dengan pelaksanaan ini, PDWU Sungai Petani menjadi lokasi ke-25 yang menyertai rangkaian ekosistem BBISv2 di seluruh negara, sekali gus membantu menyeragamkan proses kerja serta meningkatkan keupayaan pemantauan stok darah secara menyeluruh.
Sistem berkenaan turut membolehkan pemantauan “vein-to-vein” dilakukan dengan lebih tepat bagi memastikan tahap keselamatan pesakit terus dipertingkatkan, khususnya di Zon Utara.
-Advertisement-
Majlis tersebut turut dihadiri wakil daripada Bahagian Pengurusan Maklumat (BPM), Bahagian Perkembangan Perubatan (BPP), pasukan teras PDWU serta pegawai kanan Pusat Darah Negara.
Kehadiran pelbagai pihak berkepentingan itu mencerminkan komitmen bersama dalam memastikan integrasi data masa nyata dapat direalisasikan selaras dengan agenda transformasi digital Kementerian Kesihatan Malaysia.
Dalam ucapannya, Dr. Nor Nazahah turut menekankan bahawa kejayaan projek bergantung kepada kerjasama erat antara jabatan dan pihak vendor dalam memastikan mutu perkhidmatan kesihatan terbaik dapat diberikan kepada rakyat. – The Capital Post