PUTRAJAYA 14 Mei 2026 (The Capital Post) – Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, YBhg. Dato’ Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim mengadakan lawatan kerja ke Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti hari ini bagi memperkukuh agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara.
Lawatan tersebut menjadi platform pengenalan terhadap fungsi serta hala tuju institusi TVET di bawah kementerian, selain mempererat penyelarasan dasar pendidikan tinggi di peringkat jabatan dan institusi.
Ketibaan beliau disambut oleh Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Shamsuri Abdullah bersama barisan kepimpinan tertinggi Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti.
Sepanjang sesi berlangsung, beliau diberikan taklimat menyeluruh berkaitan peranan, pencapaian serta inisiatif semasa jabatan dalam memperkasa ekosistem TVET negara melalui institusi politeknik dan kolej komuniti.
-Advertisement-
Dalam pertemuan tersebut, YBhg. Dato’ KSU menegaskan bahawa penawaran program di institusi POLYCC perlu terus relevan, fleksibel dan mampan agar selari dengan keperluan industri serta perubahan landskap pasaran pekerjaan semasa.
Beliau turut menekankan kepentingan memastikan agenda pendidikan negara diterjemahkan secara efektif menerusi pelaksanaan dasar yang tersusun di semua peringkat institusi TVET.
Lawatan kerja itu turut dihadiri Pengarah Bahagian JPPKK, Pengerusi Zon POLYCC serta Timbalan Pengerusi Zon POLYCC yang bersama-sama membincangkan usaha memperkukuh pembangunan modal insan berkemahiran tinggi. – The Capital Post