ISKANDAR PUTERI 15 Mei 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pendidikan Tinggi terus memperkukuh kerjasama strategik bersama Kerajaan Negeri Johor dalam usaha memastikan pembangunan pendidikan tinggi dan Pendidikan serta Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) selari dengan keperluan pembangunan wilayah serta industri semasa.
Komitmen itu dizahirkan menerusi kunjungan hormat Menteri Pendidikan Tinggi, Zambry Abd Kadir kepada Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi di Johor Talent Development Council (JTDC), Iskandar Puteri.
Pertemuan tersebut memberi tumpuan kepada pembentangan dasar pendidikan tinggi negara, pembangunan institusi pengajian tinggi (IPT) di Johor serta pengukuhan kerjasama strategik antara kerajaan Persekutuan dan negeri.
Dalam sesi berkenaan, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman membentangkan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 yang memberi fokus kepada usaha melahirkan graduan holistik, kompetitif dan bersedia mendepani cabaran masa hadapan.
Menurut Dr. Zambry, Johor dilihat sebagai antara negeri paling progresif dalam pembangunan bakat apabila menjadi negeri pertama menubuhkan Johor Talent Development Council (JTDC), yang disifatkan sebagai model pembangunan modal insan yang berpotensi diperluaskan ke negeri-negeri lain.
Turut dibentangkan ialah perkembangan projek pembangunan institusi pendidikan tinggi awam di Johor di bawah Rolling Plan Pertama (RP1), Rancangan Malaysia Ke-13 bagi tahun 2026.
-Advertisement-
Sebanyak 47 projek pembangunan telah diluluskan melibatkan universiti awam, politeknik dan kolej komuniti di seluruh Johor dengan nilai keseluruhan peruntukan RM418.2 juta.
Daripada jumlah itu, sebanyak 22 projek baharu diluluskan melibatkan dua projek politeknik, tiga kolej komuniti dan 17 projek universiti awam.
Beberapa universiti awam turut membentangkan perancangan pembangunan masing-masing termasuk Universiti Teknologi MARA, Universiti Sains Islam Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia serta Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin, Ketua Setiausaha KPT Dato’ Ts. Dr. Aminuddin Hassim, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Dr. Shamsuri Abdullah serta delegasi daripada KPT dan Kerajaan Negeri Johor. – The Capital Post