MDEC Pacu Fasa Baharu E-Invois Malaysia

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR 15 Mei 2026 (The Capital Post)Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) meneruskan usaha mempercepatkan transformasi digital perniagaan negara menerusi penganjuran siri bengkel libat urus strategik berkaitan pembangunan spesifikasi standard bagi dokumen perniagaan baharu dalam ekosistem e-invois Malaysia.

Inisiatif tersebut dilaksanakan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan memperkukuh pendigitalan operasi perniagaan dan memperluas penggunaan dokumen elektronik dalam kalangan pemain industri di negara ini.

Siri bengkel berkenaan menghimpunkan penyedia perkhidmatan, penyedia penyelesaian Peppol-ready, pemain industri serta pelbagai pihak berkepentingan bagi membincangkan keperluan teknikal dan operasi berkaitan pelaksanaan dokumen digital tambahan dalam sistem e-invois negara.

Perbincangan turut memberi fokus kepada pengesahan keutamaan dokumen perniagaan, penilaian tahap kesiapsiagaan industri serta keperluan ekosistem digital bagi memastikan proses pelaksanaan dapat dilakukan secara lebih tersusun dan efektif.

-Advertisement-

Dalam bengkel yang berlangsung pada 13 Mei lalu, Naib Presiden Digital Adoption MDEC, Ir. Wan Murdani Wan Mohamad menegaskan bahawa Malaysia memiliki asas yang kukuh dalam memperkasa agenda pendigitalan perniagaan serta bersedia melangkah ke fasa seterusnya dalam transformasi ekonomi digital negara.

Menurut beliau, kerjasama erat antara kerajaan, penyedia teknologi dan pemain industri amat penting bagi memastikan pelaksanaan sistem e-invois serta dokumen digital lain dapat memberikan manfaat menyeluruh kepada komuniti perniagaan.

Usaha berterusan itu dilihat selari dengan aspirasi negara untuk meningkatkan kecekapan operasi, memperkukuh ketelusan transaksi serta mempercepatkan adaptasi teknologi digital dalam sektor perusahaan. – The Capital Post