KUALA LUMPUR: Bekas penyerang skuad kebangsaan, Safee Sali sedia merebut apa-apa jawatan dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sekiranya diberi peluang bertanding pada kongres pemilihan barisan kepimpinan baharu badan induk itu yang akan datang.
Safee yang juga bekas Presiden Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) menganggap tiada masalah untuknya memainkan peranan sebagai muka baharu dalam ekosistem bola sepak negara.
Dia turut menjelaskan bahawa tindakannya menyuarakan hasrat untuk bertanding merebut jawatan Presiden FAM sebelum ini adalah sebagai menyahut ‘panggilan’ daripada peminat bola sepak tanah air.
“Bagi Kongres FAM, saya rasa kalau ada ruang untuk sebarang perubahan, kami sebagai muka baharu yang berkecimpung dalam arena bola sepak ini, kenapa tidak (untuk bertanding), jika diberi peluang.
“(Hasrat bertanding jawatan) Presiden itu sebenarnya satu panggilan daripada peminat yang menyuarakan nama saya. Kalau orang sudah mendoakan nama saya seperti itu, saya kata kenapa tidak.
-Advertisement-
“Bagi saya walau apa pun, kalau ada ruang untuk berada dalam perubahan landskap bola sepak kita untuk lebih baik, saya rasa tiada masalah,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.
Semua kerusi di FAM kosong susulan peletakan jawatan secara Safee Terus Dapat Sokongan Peminatberamai-ramai oleh Jawatankuasa Eksekutif pada Januari lalu dan pemilihan barisan kepimpinan baharu dijangka akan diadakan selepas Piala Dunia apabila selesai proses audit yang dilakukan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) terhadap badan induk itu.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman dalam laporan sebelum ini menjelaskan mereka perlu menunggu kelulusan daripada Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) dan hasil komprehensif daripada audit AFC sebelum melakukan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM). – Berita Harian