KUALA LUMPUR: BERSATU bersetuju melantik bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya parti itu.
Dalam kenyataan hari ini, Mohamed Azmin yang juga Setiausaha Agung BERSATU berkata, mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU semalam mengambil maklum perkembangan terkini di Negeri Sembilan dan Melaka
yang dijangka akan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam masa terdekat.
Justeru itu, partinya sudah melaksana persediaan bagi menghadapi siri PRN itu menerusi penubuhan Bilik Gerakan Utama (BGU) dilengkapi teknologi moden canggih dan sistem operasi pilihan raya secara digital menggunakan platform SIBER, yang mula beroperasi 1 Jun ini.
“MPT bersetuju untuk mengadakan satu sesi perbincangan strategik peringkat tertinggi BERSATU yang turut membabitkan kepimpinan tertinggi BERSATU dari Negeri Johor, Negeri Sembilan dan Melaka pada Jun depan.
“Ini untuk memperhalusi strategi baru dalam menjana sokongan rakyat dan menjulang agenda kemakmuran bersama,” katanya.
Beliau berkata, mesyuarat MPT dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yasin berlangsung selama hampir empat jam itu turut memberi tumpuan kepada perkembangan politik semasa di Johor.
“MPT mendengar taklimat dari Ketua Badan Pimpinan Johor dan mengambil ketetapan untuk mengarahkan Badan Pimpinan Johor meningkatkan perbincangan dan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) Johor dan pelbagai pihak lain yang bersedia untuk membawa perubahan demi kesejahteraan dan kemakmuran Johor,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamed Azmin berkata, pengauditan dan penaziran kerja lapangan dengan aplikasi NADI diketuai oleh Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu digerakkan secara meluas ke kawasan-kawasan tumpuan BERSATU bermula hari ini.
-Advertisement-
MPT kata beliau turut mendukung usaha Penerangan BERSATU yang diketuai oleh Datuk Tun Faisal Ismail Aziz untuk meningkatkan program penerangan dan komunikasi strategik melalui media dan sosial media.
“MPT turut membincangkan usaha yang berterusan untuk meningkatkan dan memperkukuhkan kerjasama di kalangan parti-parti anggota dalam PN.
“BERSATU yakin keharmonian dan kesatuan yang utuh dalam PN akan memberi keyakinan kepada rakyat untuk bersama
dengan PN dalam pilihan raya akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamed Azmin turut memaklumkan MPT setuju melantik Ketua Armada BERSATU, Muhammad Hilman Idham sebagai wakil BERSATU dalam Majlis Tertinggi PN.
“Sebagai seorang tokoh dan pemimpin muda, beliau akan menjana kesegaran dan kecerdasan dalam
kepemimpinan Perikatan Nasional,” katanya.
Katanya, MPT juga meneliti Laporan Jawatankuasa Petugas Khas Penyusunan Semula Bahagian dan bersetuju untuk mengesahkan pelantikan Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi sebagai Ketua Bahagian Lembah Pantai dan Datuk Safian Mohd Yunus sebagai Ketua Bahagian Bandar Tun Razak. – Berita Harian