Seorang Lelaki Maut Dihempap Gugusan Buah Sawit

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUANTAN: Seorang lelaki maut dihempap gugusan buah sawit ketika mengambil upah memotong hasil itu di sebuah ladang sawit di FELDA Bukit Goh, di sini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah, berkata mangsa yang berusia 50 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada pemilik ladang yang memaklumkan mangsa tidak sedarkan diri di ladang itu pada jam 5.45 petang kelmarin.

“Susulan itu, sepasukan polis ke lokasi dan mendapati mangsa terbaring di tepi pokok sawit dalam keadaan tidak sedarkan diri. Dia disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dan pemeriksaan awal tidak menemui sebarang kesan perbuatan jenayah,” katanya.

-Advertisement-

Saksi memberitahu, mangsa bersama dua rakannya mengambil upah memotong buah sawit di ladang terbabit.

“Kejadian dipercayai ketika mangsa memotong buah sawit pada ketinggian kira-kira 10 meter sebelum sawit dianggarkan seberat 15 kilogram menimpanya. Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) bedah siasat,” katanya. – Berita Harian