SERDANG 19 Mei 2026 (The Capital Post) – Institusi pengajian tinggi di negara ini perlu memainkan peranan lebih besar sebagai hab inovasi dan pengkomersialan penyelidikan bagi memastikan hasil kajian akademik mampu memberi manfaat terus kepada industri serta ekonomi negara.
Perkara itu ditegaskan oleh Zambry Abd Kadir yang menyatakan bahawa universiti tidak lagi boleh dilihat hanya sebagai pusat pengajaran dan penerbitan ilmiah, sebaliknya perlu menjadi pemangkin utama kepada pembangunan teknologi, inovasi dan penyelesaian industri bertaraf global.
Menurut beliau, masih terdapat kekurangan bukti kukuh yang menunjukkan hasil penyelidikan universiti tempatan berjaya dikomersialkan secara mampan sepanjang dua hingga tiga dekad lalu. Justeru, Kementerian Pendidikan Tinggi kini memberi fokus kepada pembentukan ekosistem universiti yang lebih menyokong pembangunan inovasi dan pelaburan penyelidikan.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program “Membuka Akses kepada Modal: Meja Bulat Universiti dan Pemodal Teroka” yang diadakan sempena persediaan Sidang Kemuncak Pelaburan Penyelidikan dan Inovasi Universiti (URIIS) 2026 di Universiti Putra Malaysia.
Tambah beliau, URIIS 2026 yang dijadual berlangsung pada September depan bakal menjadi platform penting yang menghimpunkan universiti, pemain industri dan syarikat modal teroka bagi membincangkan hala tuju pelaburan inovasi universiti secara lebih tersusun dan strategik.
-Advertisement-
Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan dasar kerajaan yang lebih menyokong, kerangka pengkomersialan yang cekap, pengurusan harta intelek yang efektif serta pembangunan sistem inkubasi syarikat pemula bagi membantu hasil penyelidikan menembusi pasaran.
Beliau turut mengingatkan tentang cabaran “valley of death”, iaitu keadaan apabila idea dan inovasi bernilai tinggi gagal dikembangkan ke peringkat komersial akibat kekurangan pembiayaan, jaringan industri serta sokongan strategik.
Selain itu, universiti juga disaran membentuk budaya yang lebih terbuka terhadap risiko dan kegagalan dalam usaha melahirkan lebih banyak syarikat pemula berasaskan penyelidikan yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa. – The Capital Post