KPWKM Perangi Gangguan Seksual

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR 20 Mei 2026, Malaysia (The Capital Post) – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerusi Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) terus memperkukuh komitmen dalam menangani isu gangguan seksual melalui pelaksanaan Program Toleransi Sifar Keganasan: Say No To Sexual Harassment yang dirasmikan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri pada Selasa.

Program tersebut dianjurkan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kesan gangguan seksual terhadap maruah, keselamatan serta kesejahteraan individu dalam pelbagai lapisan masyarakat.

Menurut kementerian, kerajaan telah melaksanakan beberapa langkah penting bagi membendung isu berkenaan termasuk penggubalan Akta Antigangguan Seksual 2022 [Akta 840] yang menjadi asas perundangan dalam memperkukuh perlindungan terhadap mangsa.

Pelaksanaan akta tersebut turut diperkasa menerusi penyediaan garis panduan komprehensif yang merangkumi aspek pencegahan, prosedur tindakan serta perlindungan menyeluruh kepada mangsa bagi memastikan pengurusan kes gangguan seksual dapat dilakukan secara lebih sistematik dan berkesan.

Selain itu, kerajaan turut menubuhkan Tribunal Bagi Antigangguan Seksual (TAGS) sebagai platform alternatif untuk menyelesaikan aduan berkaitan gangguan seksual dengan lebih cepat, mudah dan pada kos yang lebih berpatutan.

-Advertisement-

Dalam masa sama, program advokasi Women, Peace and Security (WPS) juga terus dipergiat bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan penglibatan wanita dalam aspek keamanan, keselamatan dan pembangunan negara.

KPWKM memaklumkan bahawa peningkatan kes gangguan seksual yang direkodkan di negara ini menunjukkan isu tersebut semakin membimbangkan dan memerlukan tindakan bersepadu daripada semua pihak.

Justeru, kementerian menyeru kerjasama berterusan daripada agensi kerajaan, sektor swasta dan masyarakat bagi mewujudkan persekitaran yang lebih selamat, harmoni dan kondusif untuk semua. – The Capital Post