KUALA LUMPUR: Sunway Property memulakan kerja penambahbaikan trafik di bulatan Persiaran Kewajipan di Subang Jaya, sebagai usaha meningkatkan kelancaran pergerakan trafik serta hubungan jaringan antara Bandar Sunway, Subang Jaya, USJ dan kawasan sekitarnya.
Pelaksanaan projek dengan anggaran pelaburan melebihi RM100 juta itu dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) susulan keperluan menangani kesesakan yang sekian lama menjadi cabaran utama di laluan berkenaan.
Bulatan Persiaran Kewajipan dikenal pasti sebagai antara nod sambungan utama yang menghubungkan Bandar Sunway, Subang Jaya, USJ serta laluan utama lain termasuk Lebuhraya Persekutuan dan Lebuhraya Pantai Baharu (NPE).
Menurut Sunway Property, kerja infrastruktur yang dirancang secara teliti itu bertujuan membantu memperbaiki perjalanan harian komuniti setempat selain meningkatkan kecekapan aliran trafik di kawasan terbabit. Kerja naik taraf di bulatan Persiaran Kewajipan dijangka siap menjelang penghujung 2026.
Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Property, Chong Sau Min, berkata penambahbaikan itu mencerminkan kepentingan koridor Persiaran Kewajipan kepada komuniti di Subang Jaya dan Bandar Sunway.
Beliau berkata, projek berkenaan dibangunkan menerusi konsultasi bersama pakar trafik dan dilaksanakan dengan penyelarasan bersama MBSJ bagi menyokong aliran trafik yang lebih lancar serta pergerakan lebih selamat untuk pengguna jalan raya.
“Sebagai pemaju hartanah komuniti, kami melihat infrastruktur dan hubungan jaringan sebagai komponen penting dalam pertumbuhan serta fungsi sesebuah bandar.
“Kami berbesar hati melaksanakan usaha ini bagi menyokong aksesibiliti yang lebih baik kepada pengguna di Subang Jaya,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Sunway Property, skop kerja merangkumi beberapa penambahbaikan persimpangan dan aliran trafik termasuk pemasangan tiga lampu isyarat pintar berkuasa kecerdasan buatan (AI).
Lampu isyarat itu akan digunakan bagi mengawal kemasukan trafik ke bulatan serta mengoptimumkan pergerakan kenderaan dalam kawasan berkenaan.
-Advertisement-
Selain itu, laluan trafik dari arah SS15 menuju ke Bandar Sunway akan dialihkan menerusi pergerakan pusingan U selepas Sekolah Sri Kuala Lumpur menghala ke Subang Jaya Medical Centre.
Kerja pengubahsuaian laluan dan persimpangan turut membabitkan penambahbaikan dua lokasi pusingan U sedia ada bagi meningkatkan kelancaran trafik serta mengurangkan titik konflik dalam bulatan itu.
Dalam masa sama, kerja pelebaran lorong akan dilaksanakan bagi memperbaiki aliran trafik dari arah Bandar Sunway menuju ke USJ Taipan sekali gus mengurangkan kesesakan di laluan keluar utama kawasan berkenaan.
Sunway Property berkata, konfigurasi baharu itu dibangunkan berdasarkan hasil kajian trafik mendalam bagi meningkatkan kecekapan keseluruhan persimpangan.
Mengulas pelaksanaan projek itu, Sau Min berkata, pihaknya akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa bagi menguruskan sebarang gangguan kepada pengguna jalan raya sepanjang tempoh pembinaan.
Beliau berkata, penutupan lorong akan dijalankan pada waktu luar puncak dan waktu malam mengikut garis panduan pihak berkuasa tempatan bagi meminimumkan gangguan kepada pengguna.
“Kami yakin penambahbaikan yang dirancang secara teliti ini akan memberi manfaat jangka panjang kepada semua pihak yang menggunakan koridor ini dan menghargai kesabaran pengguna jalan raya sepanjang tempoh pelaksanaan,” katanya.
Sunway Property berkata, penambahbaikan di bulatan Persiaran Kewajipan adalah sebahagian daripada usaha peningkatan hubungan jaringan yang lebih meluas di kawasan Bandar Sunway, Subang Jaya dan USJ. – Berita Harian