PUTRAJAYA 22 Mei 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) terus mempergiat usaha pemantauan terhadap 50 program dan projek pembangunan di bawah Rolling Plan Pertama (RP1), Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) Tahun 2026 bagi memastikan setiap pelaksanaan memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Perkara tersebut dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Kementerian (JTPK) KPWKM Bilangan 5 Tahun 2026 yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KPWKM, Maziah Che Yusoff.
Mesyuarat berkenaan meneliti secara menyeluruh status kemajuan semua program dan projek pembangunan sedia ada bagi memastikan pelaksanaannya berjalan mengikut perancangan serta selari dengan aspirasi “Year of Fast Execution, Impactful Results”.
Dalam masa sama, KPWKM turut memberi keutamaan kepada pelaksanaan projek berimpak segera menerusi inisiatif Low-Hanging Fruits atau Cakna MADANI yang disifatkan mampu memberikan hasil cepat dan manfaat nyata kepada masyarakat.
-Advertisement-
Langkah itu mencerminkan komitmen kementerian dalam memastikan agenda pembangunan sosial dan kebajikan rakyat dapat dilaksanakan secara lebih efektif serta memberi impak positif terhadap kesejahteraan komuniti.
Mesyuarat tersebut turut dihadiri wakil daripada beberapa agensi pusat termasuk Kementerian Kewangan Malaysia, Kementerian Ekonomi, Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM), Jabatan Kerja Raya Malaysia serta Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan bagi memperkukuh penyelarasan pelaksanaan projek pembangunan negara. – The Capital Post