KOREA SELATAN 22 Mei 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) terus memperkukuh agenda pemerkasaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) negara menerusi penyertaan dalam Mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) bagi Kumpulan Kerja Perusahaan Kecil dan Sederhana Ke-61 (APEC SMEWG) yang berlangsung di Seoul, Korea Selatan pada 21 hingga 22 Mei 2026.
Delegasi Malaysia diketuai oleh Ketua Setiausaha KUSKOP, Khairul Dzaimee Daud, yang turut membentangkan inisiatif “Hebatkan Perniagaan Malaysia” sebagai antara strategi memperkasa PMKS tempatan untuk lebih berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Mesyuarat kali ini memberi tumpuan kepada beberapa agenda utama termasuk transformasi digital, pembangunan syarikat pemula niaga (start-up), penskalaan perniagaan, akses pasaran global serta peralihan hijau dalam kalangan PMKS.
Selain sesi pembentangan, delegasi Malaysia turut mengadakan beberapa pertemuan dua hala bersama wakil ekonomi APEC lain bagi memperkukuh hubungan kerjasama antarabangsa khususnya dalam bidang pembangunan keusahawanan dan perdagangan.
-Advertisement-
Turut menyertai delegasi negara ialah Setiausaha Bahagian Dasar dan Perhubungan Antarabangsa KUSKOP, Encik Mahil Ahmad, bersama wakil daripada CEDAR SME Bank.
Penyertaan Malaysia dalam platform antarabangsa tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperluas peluang pasaran serta memperkukuh daya tahan dan daya saing PMKS negara dalam landskap ekonomi global yang semakin mencabar. – The Capital Post