KUALA LUMPUR 22 Mei 2026 (The Capital Post) – Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) terus memperkukuh pembangunan bakat digital negara menerusi sokongan sebagai rakan strategik dalam seKODlah TechHive Bootcamp 2026 yang turut merangkumi sokongan fasiliti sepanjang program berlangsung.
Program intensif selama 26 hari itu melibatkan 40 jam latihan bootcamp serta pendekatan pembelajaran berasaskan cabaran (challenge-based learning) yang direka bagi melahirkan bakat digital yang bersedia memenuhi keperluan industri.
Inisiatif tersebut selari dengan usaha MDEC dalam mempercepat pembangunan tenaga kerja digital berkemahiran tinggi ke arah aspirasi Malaysia sebagai negara berasaskan kecerdasan buatan (AI Nation) menjelang 2030.
-Advertisement-
Majlis penutupan dan penyampaian hadiah program itu turut menghimpunkan pelbagai rakan strategik termasuk CIMB Foundation, Forest Interactive, MyFutureJobs-PERKESO serta Cradle Fund, yang bersama-sama menyokong pembangunan ekosistem bakat digital negara.
MDEC turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak terlibat serta berharap lebih banyak penglibatan industri dalam menyokong program pembangunan bakat digital bagi memperkukuh ekosistem digital Malaysia pada masa hadapan. – The Capital Post