KENINGAU 25 Mei 2026 (The Capital Post) – Sambutan Hari Hutan Antarabangsa 2026 Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di Dataran Pekan Sook, Sabah menjadi platform penting dalam memperkukuh kerjasama antara kerajaan dan komuniti ke arah pemeliharaan khazanah hutan negara serta kelestarian alam sekitar.
Majlis penutupan sambutan tersebut disempurnakan oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, YB Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup yang turut menekankan kepentingan kesedaran masyarakat terhadap pemeliharaan hutan dan kesejahteraan komuniti.
Antara pengisian utama program ialah larian FCC Run for Resilient Forests yang dilepaskan oleh YB Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup sebagai simbol sokongan terhadap usaha memperkukuh daya tahan hutan dan pemuliharaan alam sekitar secara mampan.
Majlis turut diserikan dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang termasuk enam kategori larian serta persembahan Johan Sugandoi Hari Hutan Antarabangsa Kategori Pelajar yang menceriakan sambutan.
-Advertisement-
Selain itu, pelbagai aktiviti komuniti, pameran agensi serta sesi libat urus bersama masyarakat setempat turut dianjurkan bagi menyemarakkan semangat kebersamaan dalam menjaga alam sekitar dan sumber semula jadi negara.
Turut hadir Yang di-Pertua Dewan Rakyat, YB Tan Sri Dato’ Dr. Johari bin Abdul, Ketua Konservator Hutan Negeri Sabah, Datuk Zulkifli Suara, Ahli Dewan Negara (Senator), Datuk Wira Dr. Mohd Hatta bin Md Ramli serta Ahli Parlimen Tanjong Karang, YB Kapten Dato’ Dr. Zulkafperi Hanapi bersama wakil jabatan dan agensi berkaitan. – The Capital Post