ISTANBUL 25 Mei 2026 (The Capital Post) – Malaysia mencatat satu lagi pencapaian penting dalam usaha memperkukuh pertahanan maritim negara menerusi pelancaran Kapal Misi Pesisir Batch 2 (LMSB2) pertama, TUNKU LAKSAMANA ABDUL JALIL di Istanbul Shipyard, Türkiye.
Upacara penamaan dan pelancaran kapal tersebut disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah serta turut dihadiri Menteri Pertahanan, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin.
Penamaan kapal berkenaan dibuat sebagai penghormatan kepada Almarhum Tunku Abdul Jalil yang dikenang atas keberanian, ketabahan dan semangat juang luar biasa menerusi slogan “Fight Like Jalil”, selain legasi kebajikan yang diteruskan melalui Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor.
Kapal Kelas Tunku yang dibangunkan berasaskan reka bentuk korvet ADA Class oleh STM itu merupakan aset tempur moden Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang direka untuk melaksanakan operasi pelbagai dimensi dalam memperkukuh keselamatan maritim negara.
-Advertisement-
Selepas pelancaran rasmi, kapal tersebut akan melalui fasa Setting to Work (STW) termasuk proses integrasi sistem peperangan dan penderia sebelum diserahkan sepenuhnya kepada TLDM.
Pelancaran LMSB2 pertama ini turut mencerminkan hubungan kerjasama strategik yang semakin kukuh antara Malaysia dan Türkiye dalam pembangunan keupayaan pertahanan serta pemindahan teknologi.
Inisiatif itu dijangka mempertingkat kesiapsiagaan TLDM dalam mendepani cabaran keselamatan maritim yang semakin kompleks di peringkat serantau dan antarabangsa. – The Capital Post