ALOR SETAR, 26 Mei 2026 (The Capital Post) – Yang Berhormat Dato’ Seri Haji Norizan bin Khazali, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah hari ini hadir ke Majlis Apresiasi Sempena Persaraan Pegawai Tadbir Negeri Kedah (KCS) Tahun 2026 yang berlangsung di Starcity Hotel, bagi menghargai jasa dan sumbangan pegawai-pegawai kanan negeri yang menamatkan perkhidmatan.
Majlis tersebut dianjurkan khusus sebagai tanda penghargaan kepada pegawai KCS yang bersara iaitu Yang Berbahagia Dato’ Wira Haji Syed Khairol Anuar bin Syed Abidin, Mantan Pegawai Kewangan Negeri Kedah, Yang Berbahagia Dato’ Dr. Haji Abd. Ghani @ Zulkifli bin Haji Zainuddin, Mantan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah, serta Yang Berbahagia Dato’ Haji Hakim Ariff bin Md Noor, Mantan Pegawai Daerah Kota Setar.
Ketiga-tiga mantan pegawai tersebut telah diraikan atas komitmen, dedikasi dan sumbangan besar mereka sepanjang tempoh perkhidmatan dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah.
-Advertisement-
Dalam majlis itu, kepimpinan negeri turut menzahirkan penghargaan atas khidmat bakti yang telah dicurahkan serta berharap agar segala jasa mereka terus menjadi inspirasi kepada penjawat awam generasi baharu.
Majlis turut diakhiri dengan ucapan selamat bersara dan doa agar para pesara dikurniakan kesihatan yang baik serta kehidupan yang sejahtera bersama keluarga tercinta. – The Capital Post